Friday, January 9, 2009

Bersatu Berubah

Kemenangan Gabungan Mahasiswa UKM, GMUKM, merupakan alamat dan petanda awal gelombang perubahan yang sudah lama dinantikan oleh Mahasiswa. Mahasiswa berjaya mengekalkan 2 kerusi di Fakulti Pengajian Islam, FPI bagi kerusi tahun 2 dan 3, juga merampas kerusi tahun 2 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, FKAB. Namun begitu, sebenarnya kerusi tahun 3 bagi FKAB juga adalah milik Mahasiswa, namun dirampas oleh HEP dengan menggunakan teknikal sebagai alasan.

Mahasiswa, tetap tidak akan berganjak daripada terus menuntut hak kemenangan di FKAB bagi kerusi tahun 3 dan dalam masa yang sama terus-menerus berusaha membawakan perubahan bersama-sama seluruh masyarakat kampus. Kemenangan awal ini, sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat untuk sentiasa komited dengan agenda perubahan membawa harapan baru untuk semua Mahasiswa tanpa mengira ideologi, teologi, mahupun sempadan ras dan warna kulit.

Perubahan yang ingin kita kecapi bersama ini sebenarnya memerlukan sokongan padu daripada semua entiti yang ada di UKM, baik di kalangan pensyarah, pelajar, mahupun kakitangan dan pegawai-pegawai pentadbiran. Sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma dan kembali melakar kegemilangan dan keceemerlangan bersama.

Perpaduan antara kaum dan bangsa yang ada di UKM ini perlu diperkukuhkan. Kita perlu bergerak seiring dan sentiasa bekerjasama menikmati kebahagiaan dan limpahan kekayaan bersama. Disebabkan bumi ini kita pijak bersama, langit ini kita junjung bersama, apalah kiranya jika kerja buat yang kita lakukan di atas bumi ini juga dilakukan bersama. "Bersama" dalam ertikata wujudnya aktiviti saling memberi dan menerima, "give and take". Perkara ini penting kerana tiada bangsa yang tercatat dalam sejarah bangun dengan sendiri tanpa ada hubungan kerjasama dengan bangsa lain. Maka pengalaman dan pengiktibaran sejarah ini seharusnya menjadikan kita sentiasa sedar dan insaf bahawa tiada bangsa yang lebih baik mahupun sebaliknya.

Oleh kerana itu, perubahan pertama yang mesti kita lakukan adalah berubah dari keadaan perpecahan kepada kesatuan dan perpaduan. Buang segala prasangka yang menebal dalam diri. Meletakkan diri kita sama sahaja sifat dan darjatnya dengan orang lain. Tiada yang lebih mulia di kalangan manusia itu, melainkan orang yang berilmu. Kita perlu bina jambatan bagi menyeberangi sempadan yang memisahkan kita.

Bermula daripada perubahan inilah, maka kita akan dapat mewujudkan suasana dan gelombang pembaharuan yang lebih baik supaya dapat merealisasikan harapan baru mahasiswa. Bersatu Berubah!!!

1 comment:

  1. la..bkn bsatu berubahla..
    tp beramai2 bruba cik..
    huahua...

    ReplyDelete