Thursday, September 23, 2010

Kes Rosmah 'bini puaka': Semua tertuduh dibebaskan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka - yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah - dibebaskan.

Rozana membuat keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta Kuala Lumpur.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

C4, bini puaka, pembunuh Altantuya

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu, gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rozana dalam penghakimannya pagi ini berkata dalam pertuduhan seksyen 436 pihak pendakwaraya gagal membuktikan elemen-elemen penting dalam pertuduhan bahawa semua tertuduh telah melakukan khianat atau cubaan melakukan khianat serta mempunyai niat bersama antara mereka.

"Tiada keterangan mengenal pasti bahan api yang digunakan untuk melakukan khianat serta kerosakan dan kemusnahan daripada bahan api tersebut," kata Rozana.

Manakala bagi seksyen 447 pula, pendakwaraya gagal membuktikan elemen niat bersama tertuduh untuk melakukan kesalahan pencerobohan.

"Tiada keterangan bahawa mereka berada di kawasan tersebut dan melakukan pencerobohan di tempat perbuatan khianat yang didakwa berlaku," katanya lagi

Sementara bagi seksyen 427 pula, Rozana berkata pihak pendakwaraya turut gagal membuktikan bahan yang digunakan adalah bahan petrol dan perbuatan contengan di dinding dilakukan oleh semua tertuduh.

"Untuk semua pertuduhan tiada keterangan langsung dibuktikan oleh pendakwaraya. Cuma mereka hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan tanpa bukti sokongan.

"Setelah meneliti dan menimbang semua keterangan daripada saksi pendakwaraya, exibit dan hujah, mahkamah mendapati, di atas penilaian mahkamah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini melepaskan tertuduh dan membebaskan (mereka) terhadap tiga pertuduhan itu tanpa memanggil untuk pembelaan," kata Rozana.

Sumber : Malaysiakini

Wednesday, September 22, 2010

Bini Puaka : Mahasiswa Adakan Himpunan Esok

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Jalan Duta 24 September ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes “bini puaka” melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, himpunan itu sebagai menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Ridzuan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau yakin akan kreadibiliti Mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.

“Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini”, kata Ridzuan.

SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan kepada mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.

Lima mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula Julai tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya” yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Sumber : Harakahdaily

'Jangan larang siswa ikuti kes 'bini puaka' esok'

Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa pihak pentadbiran univerisiti tersebut supaya tidak menghalang mahasiswa untuk hadir mendengar keputusan perbicaraan kes 'bini puaka' di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Sebaliknya, pengerusinya Syed Syafiq Syed Hashim berkata pihaknya bersedia menghantar seramai mungkin mahasiswa universiti itu ke mahkamah tersebut untuk memberi sokongan moral kepada tertuduh.

"Pagi tadi, kami dihubungi wakil timbalan naib canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (BHEP) melalui telefon, meminta kami tidak menghantar mahasiswa untuk mendengar keputusan perbicaraan (esok).

"Pro Mahasiswa UPM ingin menyatakan pendirian bahawa kami akan terus menghantar mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok.

"Kami berpendapat bahawa BHEP tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mahasiswa mendengar keputusan perbicaraan di mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar mahasiswa supaya turun beramai-ramai untuk memberi sokongan moral kepada lima orang mahasiswa yang dituduh dalam kes tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pro-M Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata pihaknya juga ke mahkamah esok untuk tujuan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber berkata, kira-kira 50 mahasiswa akan hadir memberi sokongan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, sumber itu tidak pasti sama ada pihak pentadbiran UIA ada mengeluar sebarang arahan melarang mahasiswa hadir di mahkamah esok.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap kelima-lima mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API) Univerisiti Malaya yang dituduh atas dakwaan cubaan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah pada 24 Jun tahun lalu.

Kelima-lima mahasiswa itu adalah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Prosiding mahkamah akan bermula jam 8.30 pagi esok.

Sumber: Malaysiakini

Sunday, September 19, 2010