Wednesday, April 22, 2009

Isu Buang dan Pindah Kolej: Meritokrasi atau kronisasi?


En. Zulkafli Amat
Ketua Unit Perumahan Pelajar
Sistem penginapan bagi pelajar UKM diuruskan oleh Unit Perumahan Pelajar(UPP) di bawah Jabatan Perkhidmatan Pelajar(JPPel), Bahagian hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM. Antara fungsi utama UPP ini adalah menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan konduksif untuk mahasiswa di dalam dan di luar kampus dan berfungsi sebagai badan pentadbiran/penyelarasan penempatan pelajar di kolej-kolej kediaman termasuk penyediaan infrastruktur dan pendidikan dalam konteks pengembangan serta pembangunan diri pelajar di kolej. UPP pula menjadi unit yang bertanggungjawab menjadi penghubung dan penyelenggara antara semua kolej kediaman.


Mutakhir ini, pelbagai laporan mengenai penempatan kolej di kampus induk Bangi dibuat oleh pelajar-pelajar UKM. Laporan ini dibuat berikutan tindakan bahagian pengurusan kolej memindahkan atau membuang sebahagian pelajar yang menghuni di kolej tersebut. Antara kolej yang dilihat begitu popular dalam isu buang kolej ini adalah Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibrahim Yaakub, Kolej Aminuddin Baki, dan Kolej Rahim Kajai.


Beberapa orang pelajar yang turut dibuang/dipindahkan kolej telah menemui pimpinan IPU bagi meluahkan kekesalan mereka berkenaan isu ini. Malah, ada segelintir di kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai penyokong aspirasi, turut dibuang daripada kolej yang mereka huni ketika ini. Ada pelajar yang dibuang(Tidak berjaya ditempatkan di mana-mana kolej), dan ada pula yang sekadar dipindahkan iaitu ditukarkan ke kolej selain daripada kolej asal, Kolej Pembuangan yang popular pula ialah Kolej Pendeta Za'aba dan Kolej Idris Al-Marbawi.


Walaupun penambahbaikan sistem telah dilakukan dari semester ke semester, bermula dari sistem merit kad aktif kolej sehinggalah merit melalui online, namun kecanggihan sistem ini dilihat gagal menangani isu penempatan kolej di kalangan pelajar UKM. Dua(2) faktor utama berlakunya krisis ini adalah:

1. Sistem penandaan markah/merit yang tidak meliputi keseluruhan aktiviti pelajar.

a. Tidak semua persatuan diberikan merit kolej. Antara persatuan yang dianak-tirikan ialah ISIUKM dan Persatuan anak Negeri.

b. Tidak memberikan kredit yang sepatutnya terhadap penglibatan pelajar di Fakulti atau di persatuan-persatuan selain di kolej.

c. Penilaian lebih bertumpu kepada penglibatan di kolej menyebabkan pelajar-pelajar yang mewakili UKM dalam pertandingan Nasyid dan sebagainya tidak diberikan hak untuk mendapatkan merit di kolej.

2. Penguatkuasaan sistem merit.

a. ada pelajar-pelajar aktif sehingga mendapat merit sebanyak 30 di peringkat kolej, fakulti mahupun universiti yang tidak mendapat tempat.

b. Ada pelajar-pelajar yang langsung tidak terlibat dengan sebarang aktiviti di sebarang peringkat mendapat penginapan di kolej sepanjang tempoh pengajian.

c. Pengetua, Pengurus kolej, dan pegawai-pegawai pentadbir kolej diberikan kelonggaran untuk membuat pemilihan sendiri berhubung dengan penempatan pelajar di kolej.

Sehubungan itu, tindakan segera perlu di ambil oleh pihak berkaitan supaya insiden ini tidak melarat dan mencetuskan kontorversi di kalangan pelajar. Pemerkasaan sistem perlu selari dengan penguatkuasaan yang adil telus dan berkebajikan.

Sebagai pelanggan, Mahasiswa UKM berhak untuk mendapatkan penjelasan mengenai sebarang perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan hak Mahasiswa perlu dijaga dan diutamakan. Ini selaras dengan misi kepimpinan Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Seri Najib Altantuya, Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.


Tuesday, April 21, 2009

Politik Islam

Khalifah dalam pengertian linguistik merupakan wakil pemimpin. Manakala berdasarkan takrifan istilah merujuk kepada wakil yang diamanahkan oleh Allah untuk mentadbir urusan di bumi, melalui Penegakan Islam sebagai Ad-Deen, dan mentadbir segala urusan dengan Islam.

Berdasarkan istilah manusia, ataupun human oleh barat, manusia disebut sebagai "crowning creature" yang memiliki pelbagai keistimewaan. Keistimewaan yang paling utama ialah kemampuan menggunakan otak untuk berfikir yang membolehkan manusia membuat pilihan dalam kehidupan seharian.

Sebab itu, istilah khalifah dengan manusia sangat berkait rapat dalam menentukan corak ketamadunan hidup sesebuah bangsa. Jika difahami dengan teliti, keupayaan manusia untuk berfikir dan memilih berbanding benda hidup atau benda bukan hidup yang ada di dunia ini merupakan alasan yang sangat kukuh kenapa manusia yang seharusnya memikul tanggungjawab memakmurkan bumi ini.

Manusia telah dipilih oleh Tuhan untuk menguruskan segala hidupan dan sumber alam yang telah dicipta oleh Tuhan. Tuhan telah melengkapkan ciri-ciri "pengurus dunia" terhadap manusia dan Tuhan juga telah menentukan segala perkara yang berlaku di atas muka bumi ini pada kadar dan ukurannya (sunnatuLlah) untuk memudahkan urusan manusia.

Tiada lembu yang dapat memakan makanan selain rumput dan daun, tiada pula kucing yang dapat memakan selain daging dan ikan, juga tiada bintang yang akan berhenti daripada menyinar, tiada planet yang berhenti berputar, tiada sungai yang tidak mengalir, tiada pantai yang tidak berombak. Semuanya ketentuan Tuhan untuk membantu urusan hidup manusia.

"Dialah (Allah) yang telah menjadikan Matahari sebagai pelita, dan bulan bercahaya, dan menetapkan tempat-tempat peredaran (bulan dan matahari) untuk kamu(manusia) bilangan tahun dan kiraan masa. Tidaklah Allah menjadikan yang demikian kecuali dengan haq(kebenaran). Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada kaum yang mahu berilmu" Al-Quran.

Urusan politk dalam Islam sangat bersangkutan dengan keterangan di atas. Manusia perlu kembali kepada hakikat penciptaan, meyakini Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rabb kepada sekalian alam, serta kembali kepada seruan untuk beramal dan bekerja berpandukan manual yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril. Juga menjadikan model kehidupan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang wajib untuk diikut.

Menerusi pemikiran seperti ini, akan lahirlah politikus yang berfikir dengan corak dan gaya pemikiran Islam. Bukan politik kepartian, bukan juga politik perkauman, bukan politik inidividu, apalagi politik wang. Memahami tuntutan berpolitik untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Berpolitik untuk mentadbir urusan ciptaan berdasarkan acuan Penciptanya. Sentiasa meletakkan Islam dan Kalimah Allah yang Maha Tinggi di tempat yang paling tinggi dalam setiap urusan politk dan kehidupan sehariannya.

"Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu"; Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui; Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi; Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (YaaSiin, 36: 79-83)