Friday, January 30, 2009

Gerakan Mahasiswa Pasca PRK 2009

Forum Kubik Minda: Gerakan Mahasiswa Pasca Pilihanraya Kampus 2009
Episod 1
Episod 2

Ikuti forum tersebut dan utarakan pandangan anda di sini.

Thursday, January 15, 2009

Gelombang Perubahan di UKM.

Alhamdulillah, segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana hanya dengan izin dan rahmatNya gelombang perubahan melanda UKM. Dia yang memiliki hati-hati manusia, Dia jugalah Raja kepada segala Raja, Pemimpin kepada segala Pemimpin, Dialah yang memiliki dan menentukan segala-galanya.

Pada kali ini, Mahasiswa dikejutkan dengan keputusan yang memberansangkan, sebanyak 12 kerusi berjaya diperolehi, sekaligus menafikan majoriti 2/3 calon sistem(aspirasi). Calon-calon sistem yang dicatur oleh tangan-tangan ghaib ternyata menjadi semakin goyah apabila monopoli mereka dalam kerusi umum telah ditembusi oleh calon-calon Mahasiswa. Namun, calon-calon sistem masih berjaya mendominasi kerusi MPP dengan bantuan instrumen "ugutan" dan "paksaan" terhadap pelajar tahun 1 dan 2 yang memberikan mereka majoriti mudah melalui 18 kerusi yang dipengaruhi pelajar tahun 1 dan 2.

Mahasiswa berjaya memberikan amaran dan isyarat yang jelas kepada "sistem" bahawa Mahasiswa sudah bosan diperkotak-katikkan. Untuk pengetahuan, sebanyak 12 perjumpaan haram diadakan oleh kolej-kolej yang mengandungi doktrin ugutan dan paksaan terhadap pelajar yang menghuni di kolej, khususnya pelajar tahun 1. Dengan mesej "siapa undi GM akan dibuang kolej", calon-calon sistem berjaya membolot 6 kerusi umum, dan 8 kerusi fakulti tahun 2.

Namun begitu, semua kerusi menyaksikan pertambahan peratus undi kepada Mahasiswa kecuali di F2.19, kerusi tahun 2 Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, di UKM KL. Signifikasi perubahan ini memberikan amaran bahawa Mahasiswa menuntut perubahan.

Oleh itu, besarlah harapan Mahasiswa/i UKM untuk menyaksikan perubahan berlaku. Kepercayaan yang diberikan oleh Mahasiswa perlu dibalas dengan amanah dan komited dalam kerja bagi barisan MPP PMUKM, baik daripada Mahasiswa mahupun calon-calon sistem(aspirasi).

Kita perlu buktikan kepada tangan-tangan ghaib di belakang calon-calon sistem itu, bahawa Mahasiswa akan bangkit menuntut segala hak dan kepunyaan mereka yang dirampas sebelum ini, dengan 12 MPP yang ada, serta semua kerusi PMUKM dalam pilihanraya akan datang.

Tuesday, January 13, 2009

Pilihanraya paling kotor dalam sejarah!!

Pilihanraya Paling Kotor dalam sejarah UKM.

Mahasiswa dikejutkan dengan beberapa siri kejadian yang amat memeranjatkan dan tidak terjangka dek akal. Pilihanraya kampus 2009 dilihat sebagai pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah sekalipun rayuan dan permintaan Mahasiswa untuk mendapatkan pilihanraya kampus yang adil dan telus telah disuarakan acapkali sebelum daripada ini.

Bermula dengan Memorandum Pilihanraya Kampus Adil dan Telus sehinggalah surat aduan berkenaan penganjuran kursus kepimpinan bakal calon yang telah menelan belanja sebanyak RM80 000, semua permintaan dan suara Mahasiswa diabaikan dan langsung tidak diberi perhatian oleh pihak yang sepatutnya menjaga kebajikan Mahasiswa/I UKM.

Penyelewengan yang dilakukan oleh pihak pengurusan universiti dan kolej-kolej kediaman.

1. Penganjuran Kursus Kepimpinan Bakal Calon di A’Famosa Resort (1 hingga 4 Januari 2009)

a. Kursus tersebut diletakkan sebagai syarat khusus untuk menyertai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, MPP PMUKM sesi 2008/2009. Hal ini menyekat kebebasan Mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dalam Pemilihan MPP

b. Nasihat daripada Mahasiswa bahawa kursus tersebut seharusnya diadakan selepas Pilihanraya tidak diendahkan menyebabkan berlakunya limpahan peserta yang mengikuti program tersebut yang akhirnya menjadi salah satu faktor yang menyebabkan kos kursus tersebut mencecah sehingga RM80 000.

2. Pewartaan Tatacara Pemilihan MPP 2009.

a. Pihak Hal Ehwal Pelajar UKM, HEP telah mengubah hampir 70% daripada peraturan yang digunapakai sebelum daripada ini. Antara perkara yang diubah adalah;

i. Mengalihkan tempat penamaan calon-calon fakulti dari Pusanika ke fakulti-fakulti, manakala hanya calon-calon umum dikekalkan di PUSANIKA. Perkara ini merumitkan kerana urusan penamaan terpaksa menggunakan khidmat tenaga kakitangan yang ramai dan dilihat sengaja dilakukan untuk memecahkan dan meredakan semangat demokrasi sempena Pilihanraya Kampus.

ii. Menafikan hak calon-calon untuk berkempen dari bilik ke bilik. Arahan ini nampaknya hanya digunakan ke atas calon Mahasiswa sedangkan pihak aspirasi bebas untuk berkempen malah mengugut Mahasiswa untuk memilih Aspirasi.

iii. Menaikkan harga bayaran untuk borang pencalonan daripada RM 15.00 kepada RM20.00, wang cagaran(wang deposit) daripada RM30.00 kepada RM50.00, borang bantahan semasa penamaan daripada RM30.00 kepada RM50.00. Perkara ini juga dilihat sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan jumlah penyertaan dalam Pilihanraya sekaligus membebankan ekonomi mahasiswa/i yang ingin bertanding.

3. Penyelewengan teknikal dan penafian kemenangan calon Mahasiswa di kerusi Tahun 3, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB)

a. Tepat jam 11.00 pagi, tempoh penamaan telah berakhir, di mana hanya seorang calon yang diterima borang pencalonannya oleh pegawai pengurus pemilihan di FKAB.

b. Pada pukul 11.15pg, urusetia mengumumkan saudari Norleana Bt Hj Usak, menang tanpa bertanding bagi kerusi tersebut kerana tiada pertandingan.

c. Namun, pada pukul 11.30pg, urusetia menarik balik pengumuman tersebut dan menggunakan alasan bahawa pengumuman perlu mengikut prosedur iaitu perlu ada tempoh bantahan selama 1 jam bermula jam 11.15pg sehingga 12.15 tghari.

d. Serentak dengan itu, urusetia sendiri yang membuat bantahan terhadap kemenangan saudari Norleana Hj Usak, dengan mendakwa bahawa saudari Norleana Hj Usak hilang kelayakan bertanding kerana beliau merupakan pelajar tahun akhir.

e. Saudari Norleana, bersama-sama dengan penyokong dan pencadang cuba mengemukakan rayuan namun TNC HEP, Dr Mohammad Abdul Razak tidak melayan rayuan tersebut.

f. Hakikatnya, pihak HEP sengaja meggunakan alasan teknikal bagi menafikan hak saudari Norleana Hj Usak, ini sebenarnya jelas dapat di lihat apabila terdapat 9 orang calon aspirasi terdiri daripada pelajar tahun akhir. Calon-calon Aspirasi (calon sistem) tersebut yang dapat dikenalpasti ialah :

Nama

Kerusi

Fakulti

Tahun Pengajian

Intan Norjahan binti Azman

Umum tahun 3

FSSK

3(tahun akhir)

Suriani binti Ding

Umum tahun 3

FSSK

3(tahun akhir)

Ahmad Nazif bin Hamidun

Umum tahun 3

FSSK

3(tahun akhir)

Siti Nazihan bt Abd Rahman

Umum tahun 3

FSSK

3(tahun akhir)

Fong Mun Fei

Umum tahun 3

FST

3(tahun akhir)

Lai Wai Sieng

FST tahun 3

FST

3(tahun akhir)

Mohamad Nasir bin Mohamed Nazri

FEP tahun 3

FEP

3(tahun akhir)

Nor Intan Zanariah binti Abd Aziz

FSSK tahun 3

FSSK

3(tahun akhir)

Muhammad Redwan Shah bin Rusmi

FTSM

FTSM

3(tahun akhir)

4. Penubuhan jentera pilihanraya peringkat Mahasiswa di kolej-kolej kediaman.

a. Perkara ini amat bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana Pengetua yang juga pegawai pentadbir universiti seharusnya tidak terlibat dengan operasi Jentera pilihanraya. Berlaku di Kolej Ungku Omar di mana Mejar Dr Samsu Adabi Mamat, Pengetua KUO, mempengerusikan Jentera Pilihanraya Kampus KUO, yang diketuai oleh Mohd Nazri Bin Ngah, yang hanya merupakan seorang pelajar.

b. Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i kolej-kolej kediaman (JAKSA) telah dikerah menjadi pengawal-pengawal keselamatan yang ditugaskan khusus untuk menghalang kempen-kempen calon-calon Mahasiswa. Peranan yang sewajarnya dimainkan oleh Pegawai Keselamatan ini tidak seharusnya berlaku kerana Mahasiswa/i tiada hak untuk menghalang apalagi membuat sekatan jalanraya menghalang pergerakan Mahasiswa yang lain. Misalnya di Kolej Pendeta Za’aba, setiap malam ahli JAKSA kolej akan membuat sekatan di jalan masuk ke kolej Za’aba dan menahan Mahasiswa/i yang ingin keluar masuk ke kolej berkenaan. Perkara yang sama turut berlaku di Kolej Burhanuddin Helmi.

5. Sekatan kempen oleh Pengetua dan JAKSA terhadap kempen-kempen calon Mahasiswa.

a. Perkara ini jelas dapat dilihat di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) apabila Left Kol Dr Mohd Nasir Saludin, bertindak menghalau mana-mana calon Mahasiswa daripada berada di kawasan kolej sekalipun untuk berkempen di kafetaria dan foyer. Beliau yang juga merupakan pengetua kolej berkenaan seringkali dilihat berkeliaran sambil memegang kayu hoki sehingga menimbulkan perasaan yang tidak enak dikalangan Mahasiswa/i di KTHO. Dalam suatu peristiwa, sekitar pukul 6.30 ptg, 11 Januari 2009, calon-calon Mahasiswa ingin berkempen di kafetaria KTHO, tidak lama kemudian terdapat arahan daripada pihak pentadbir KTHO untuk menutup semua pintu, lampu, kipas, dan juga langsir di kafetaria tersebut. Penggerai juga dipaksa untuk menutup kedai semata-mata ingin menghalang calon-calon Mahasiswa untuk berkempen. Sekalipun warga KTHO yang tidak berkenaan menerima nasib malang yang sama.

b. Serentak dengan itu, pihak pengurusan Kolej Dato’ Onn (KDO) juga membuat tindakan yang sama dengan menutup kafetaria KDO sejurus selepas kedatangan calon Mahasiswa di kafetaria KTHO pada petang yang sama.

c. Sekatan terhadap pergerakan di Kolej Rahim Kajai (KRK) juga berlaku apabila terdapat notis yang menghalang Mahasiswa/i daripada memasuki kawasan foyer kolej tanpa sebarang alasan yang munasabah. Hal ini dilihat seolah-oleh sengaja ingin menghalang Mahasiswa/i daripada bertemu dengan calon Mahasiswa yang kebetulan hanya dibenarkan berkempen di kawasan kafetaria dan foyer.

d. Situasi yang agak serupa berlaku di Kolej Ibrahim Yaakub (KIY) apabila JAKSA dilihat menunggu di tangga-tangga blok kediaman di KIY untuk mengugut dan menghalang penghuni KIY daripada bertemu dengan calon Mahasiswa dalam satu kempen yang dianjurkan sendiri oleh pihak pengurusan KIY. Sekalipun ruang untuk berpidato diberikan kepada Mahasiswa, namun JAKSA menyekat penghuni kolej daripada menghadiri majlis pidato tersebut.

6. Politik Perkauman Sempit yang Menyentuh Sensetiviti Kaum

a. Pimpinan Gabungan Mahasiswa berasa amat kesal dan kecewa di atas segala tohmahan dan tuduhan yang dikeluarkan oleh Chinese Community Student Committee (CCC) dalam satu artikel yang berbentuk booklet yang memainkan sentiment perkauman yang sempit. Sebagai pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yakni sebuah universiti yang menjunjung tinggi nilai-nilai perpaduan dan hubungan antara kaum, kami mengecam tindakan Chinese Community Student Committee (CCC) mengeluarkan risalah-risalah yang bersifat perkauman tersebut. Justeru, pimpinan GMUKM menyatakan pendirian dan persetujuan bersama antara kami terhadap isu ini dengan pendirian berikut:

1. Menyanjung tinggi nilai perpaduan antara kaum dengan menghormati perbezaan dan hak semua kaum, nilai serta adat budaya masing-masing dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha memecah-belahkan masyarakat kampus.

2. Menyokong penuh setiap program kebudayaan kaum yang mampu mengeratkan hubungan antara kaum seperti Pesta Tanglung, Pesta Ponggal selaras dengan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

3. Mempertahankan segala agenda demokrasi dengan menepati asas-asas penting dalam arena pendemokrasian.

4. Menghormati hak mahasiswa untuk bersosial selagi tidak melanggar norma-norma masyarakat, adat resam serta budaya masing-masing.

5. Berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai bersama serta menolak segala dominasi dan penindasan dalam soal agama dan kaum.

6. Berpegang kepada prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan dan kemanusian yang menjadi asas kepada keharmonian dan kesepaduan warga UKM.

Pelbagai sekatan dikenakan ke atas calon-calon Mahasiswa semasa kempen di Kolej Kediaman, namun dalam masa yang sama, pihak GMUKM menerima aduan daripada Mahasiswa sendiri bahawa terdapat ugutan dikenakan ke atas pelajar-pelajar khususnya pelajar tahun 1. Ugutan buang kolej menjadi bahan kempen utama Aspirasi ke atas pelajar-pelajar menerusi perjumpaan rasmi, kempen dari bilik ke bilik oleh JAKSA, juga melalui sebaran Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Antara SMS yang kami terima datangnya daripada JAKSA KRK, “Dtg ari khamis ni undi aspirasi..dapat 25 merit, bleh stay kolej..apa2 pun undi aspirasi…kalau undi gm kn buang kolej”. Pesanan ini datangnya daripada seorang penghuni KRK yang memaklumkan kepada kami berkenaan isi perjumpaan yang diadakan di KRK, 12 Januari 2009, sekitar 9 hingga 11 malam.

Ruang demokrasi semakin tertutup apabila pihak pengurusan kolej dan juga HEP cuba mengawal ketat pergerakan Mahasiswa. Mahasiswa/i tidak lagi diberikan hak untuk diundi dan mengundi. Mereka tidak dibenarkan memilih pemimpin sendiri dan tidak pula diberikan ruang untuk mengasah bakat kepimpinan mereka sendiri. Apa yang ingin dilihat oleh pihak HEP dan pentadbir kolej hanyalah Mahasiswa/i yang dicucuk hidungnya seperti lembu di padang ragut.

Lebih malang lagi, apabila suara demokrasi ini ditutup sepenuhnya oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Syarifah Hapsah Syed Hassan Shihabudin, apabila beliau langsung tidak mempedulikan rayuan dan cadangan yang dikemukakan oleh mahasiswa/i. Lengkap sudah kezaliman dan penganiayaan terhadap mahasiswa/i di UKM serta lenyaplah sudah harapan untuk melihat amalan demokrasi subur di UKM. Cahaya keadilan sudah terpadam dan Mahasiswa UKM kini berada di zaman gelap yang penuh dengan penipuan dan penindasan.

Justeru Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) ingin menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pihak pentadbiran UKM untuk meengambil tindakan drastik dan bertanggungjawab ke atas insiden-insisden yang berlaku seterusnya memastikan amalan demokrasi di UKM terpelihara. Pihak-pihak berwajib perlu menjalankan amanah dengan adil dan telus bagi memastikan produk-produk kelahiran IPTA dijamin mutunya dan diberikan hak-hak yang sewajarnya.

Hisyamuddin Abdullah

Setiausaha Kerja GMUKM.

Fakulti Undang-undang/3

gm_ukm@yahoo.com / 0133539245 / gm-ukm.blogspot.com / sugmukm.blogspot.com

Friday, January 9, 2009

Bersatu Berubah

Kemenangan Gabungan Mahasiswa UKM, GMUKM, merupakan alamat dan petanda awal gelombang perubahan yang sudah lama dinantikan oleh Mahasiswa. Mahasiswa berjaya mengekalkan 2 kerusi di Fakulti Pengajian Islam, FPI bagi kerusi tahun 2 dan 3, juga merampas kerusi tahun 2 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, FKAB. Namun begitu, sebenarnya kerusi tahun 3 bagi FKAB juga adalah milik Mahasiswa, namun dirampas oleh HEP dengan menggunakan teknikal sebagai alasan.

Mahasiswa, tetap tidak akan berganjak daripada terus menuntut hak kemenangan di FKAB bagi kerusi tahun 3 dan dalam masa yang sama terus-menerus berusaha membawakan perubahan bersama-sama seluruh masyarakat kampus. Kemenangan awal ini, sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat untuk sentiasa komited dengan agenda perubahan membawa harapan baru untuk semua Mahasiswa tanpa mengira ideologi, teologi, mahupun sempadan ras dan warna kulit.

Perubahan yang ingin kita kecapi bersama ini sebenarnya memerlukan sokongan padu daripada semua entiti yang ada di UKM, baik di kalangan pensyarah, pelajar, mahupun kakitangan dan pegawai-pegawai pentadbiran. Sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma dan kembali melakar kegemilangan dan keceemerlangan bersama.

Perpaduan antara kaum dan bangsa yang ada di UKM ini perlu diperkukuhkan. Kita perlu bergerak seiring dan sentiasa bekerjasama menikmati kebahagiaan dan limpahan kekayaan bersama. Disebabkan bumi ini kita pijak bersama, langit ini kita junjung bersama, apalah kiranya jika kerja buat yang kita lakukan di atas bumi ini juga dilakukan bersama. "Bersama" dalam ertikata wujudnya aktiviti saling memberi dan menerima, "give and take". Perkara ini penting kerana tiada bangsa yang tercatat dalam sejarah bangun dengan sendiri tanpa ada hubungan kerjasama dengan bangsa lain. Maka pengalaman dan pengiktibaran sejarah ini seharusnya menjadikan kita sentiasa sedar dan insaf bahawa tiada bangsa yang lebih baik mahupun sebaliknya.

Oleh kerana itu, perubahan pertama yang mesti kita lakukan adalah berubah dari keadaan perpecahan kepada kesatuan dan perpaduan. Buang segala prasangka yang menebal dalam diri. Meletakkan diri kita sama sahaja sifat dan darjatnya dengan orang lain. Tiada yang lebih mulia di kalangan manusia itu, melainkan orang yang berilmu. Kita perlu bina jambatan bagi menyeberangi sempadan yang memisahkan kita.

Bermula daripada perubahan inilah, maka kita akan dapat mewujudkan suasana dan gelombang pembaharuan yang lebih baik supaya dapat merealisasikan harapan baru mahasiswa. Bersatu Berubah!!!

Wednesday, January 7, 2009

Kehebatan Gelombang Perubahan GMUKM mula digeruni lawan...

Tinggal 3 hari untuk penamaan, 4 orang peserta bengkel kepimpinan bakal calon, A'Famosa Resort telah dipanggil oleh pengetua KTHO dalam satu perjumpaan lewat tengah malam yang dihadiri bersama felo-felo. Pertemuan yang diadakan dilihat sebagai usaha memberikan tekanan mental kepada bakal calon GMUKM yang akan menghadapi Hari Penamaan pada pagi ini, Khamis, 8 Januari 2009.

Semalam, jentera aspirasi di kolej pendeta Za'aba dilaporkan membuat sentri untuk menjaga keselamatan kolej mereka daripada ditembusi jentera GMUKM. Kolej Burhan juga tidak ketinggalan dengan memasang Kamera Litar Bersepadu CCTV di beberapa tempat untuk memberikan tekanan kepada usaha kempen GMUKM. Lebih mendukacitakan warga kampus, khususnya di kalangan Mahasiswa/i kolej burhan, mereka dihalang daripada memakai pakaian bewarna ungu, hijau dan oren pada hari ini, sebagai langkah berjaga-jaga untuk menyekat gelombang perubahan yang ingin dibawa oleh Mahasiswa semasa hari penamaan ini.

Sehubungan itu, Pemimpin GMUKM, Sdr Affandi mengajak seluruh Mahasiswa/i UKM untuk turun menyaksikan penamaan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus pada kali ini. Penamaan akan diadakan secara berasingan, bagi calon umum, Penamaan akan berjalan di Pusanika, sementara Fakulti-fakulti menjadi lokasi penamaan bagi calon kawasan fakulti masing-masing.

Beliau, yang juga bakal bertanding dalam pilihanraya kampus pada kali ini, menyeru sekali lagi kepada seluruh Mahasiswa, bahawa Pilihanraya Kampus ini adalah milik dan hak Mahasiswa. Maka Mahasiswa punya hak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pilihanraya pada kali ini.

Ayuh, kita bersatu untuk berubah dan membawakan Harapan Baru Mahasiswa.

Tuesday, January 6, 2009

Manipulasi Istilah Dan Sistem Dalam PRK

Tahun 2004 merupakan tahun terakhir istilah Pilihanraya Kampus digunapakai dalam system pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar, MPP PMUKM. Kemudiannya, sehinggalah dalam pilihanraya kampus yang akan berlangsung pada 15 Januari di UKM nanti, istilah Pemilihan digunakan bagi menggantikan istilah Pilihanraya, bukan sahaja di UKM malah di semua kampus-kampus di seluruh Malaysia mengguna pakai istilah Pemilihan dalam proses menggantikan kepimpinan Persatuan Mahasiswa kampus masing-masing.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, intipati system yang diamalkan ketika proses Pemilihan ini juga turut diubah supaya selari dengan istilah. Motif yang dapat saya lontarkan di sini adalah, untuk mengurangkan kehangatan bahang pilihan raya dan proses demokrasi dalam memilih calon yang paling layak menduduki kerusi Persatuan Mahasiswa UNiversiti, PMU.

Analoginya mudah, apa yang anda Nampak dalam perkataan “jalan”? Bagaimana jika digandingkan dengan “raya” membentuk “jalan raya”? Sudah pasti “jalan raya” adalah lebih besar daripada sekadar “jalan”. Begitu juga “kota” dengan “kota raya”, “pasar” dengan “pasar raya” dan sebagainya. Jadi “Pemilihan” juga adalah lebih mudah dan ringkas pembawaannya berbanding “Pilihanraya”.

Saya bukan nak mengajar Mahasiswa/I mengenai Bahasa Melayu, akan tetapi ini adalah contoh yang paling mudah yang dapat saya bawakan untuk membuktikan betapa pihak HEP dengan kerjasama KPT cuba melemahkan semangat dan penglibatan Mahasiswa/I dalam pilihanraya kampus. Jika diperhati, calon-calon langsung tidak diberi ruang untuk menunjukkan bakat mereka. Secara senyap-senyap mereka dipilih kerana “parti” yang mereka bawa. Budaya seperti bakal mencacatkan pertumbuhan akal dan menyekat kreativiti Mahasiswa/i. Parti yang paling kuat dan berpengaruh akan menang dan sebaliknya bagi parti yang lemah dan tidak berpengaruh.

Jika diperhati, calon-calon langsung tidak diberi ruang untuk menunjukkan bakat mereka. Secara senyap-senyap mereka di undi dan dipilih kerana “parti” yang mereka bawa.
Tidak dinafikan, soal caturan HEP dan KPT menjadi antara tarikan dalam perbahasan isu, namun saya ingin membawa dan mengajak seluruh warga kampus untuk kembalikan kegemilangan Mahasiswa melalui penglibatan secara langsung dalam Pemilihan @ Pilihan raya kampus(PRK) kali ini. Ambillah bahagian secara aktif, setidak-tidaknya memilih calon yang benar-benar dirasakan layak dan menarik hati kalian.

Kita perlu mengambil berat hal Mahasiswa kerana kita jualah yang bakal menggalas beban yang dipikul oleh generasi yang ada pada masa kini. Mahasiswa pada masa inilah yang akan mengisi kekosongan dalam sector kerajaan, swasta, politik, korporat, perundangan, keselamatan dan sebagainya pada masa depan.

Kuasa perubahan di tangan anda, Harapan Baru Mahasiswa.


Sunday, January 4, 2009

Tangan Ghaib dalam PRK 09.

Tarikh keramat 15 Januari 2009 bakal menyaksikan pertembungan yang penuh dramatic apabila calon-calon Mahasiswa bakal menerima tentangan yang hebat daripada calon-calon Aspirasi-TSB. Namun begitu, bukanlah kehebatan dan kredibiliti calon Aspirasi-TSB yang menjadi penilaian utama, sebaliknya wujudnya campur tangan dari tangan-tangan ghaib yang memegang jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran dan pengurusan di UKM, khususnya di bahagian Hal Ehwal Pelajar. dikhususkan lagi, UPP.

Seorang ahli MPP UUM melaporkan, bahawa setiap calon Aspirasi akan menerima tajaan dan bimbingan langsung daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah pentadbiran Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Dia, yang ingin namanya dirahsiakan menyebut bahawa sebuah kursus telah diadakan pada 21 hingga 24 November yang bertempat di Port Diskson, Negeri Sembilan. Kursus bakal calon Aspirasi tersebut menghimpunkan semua calon-calon Aspirasi dari semua kampus lembah kelang yang masih belum mengadakan Pilihanraya Kampus seperti UKM, UM, UIA, UPM dan lain-lain lagi.

Kursus yang dihadiri oleh semua TNC HEP dibuat dengan tujuan menyiapkan mental dan fizikal calon Aspirasi untuk menghadapi PRK 2009. Namun di UKM, calon-calon ini dipersiapkan untuk menghadapi Bengkel Calon yang bakal dikendalikan oleh HEP UKM. Dato’ Wahid yang baru sahaja tamat tempoh perkhidmatan sempat dipergunakan oleh KPT untuk mengatur bengkel tersebut yang berlangsung pada 1 hingga 4 Januari baru-baru ini, di A’Famosa Resort, Melaka.

Pindaan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 (AUKU) yang melibatkan 61 pindaan pada 11 Disember lalu oleh Dewan Rakyat juga dilihat sebagai satu taktik kotor dalam mencmpuri urusan Mahasiswa. Ini jelas dapat dibuktikan apabila Naib Canselor diberikan kuasa autonomi dalam proses Pilihanraya Kampus.

Naib Canselor UKM misalnya, diberikan hak untuk memilih mana-mana pelajar untuk menduduki kerusi Presiden PMUKM sekalipun keputusan pilihanraya tidak memihak kepada pelajar tersebut. Malah, dalam Tatacara Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2009, yang baru sahaja diedarkan pada 2 Januari yang lepas, terdapat terlalu banyak penyalahgunaan kuasa oleh Naib Canselor dan orang-orang yang berkepentingan dalam UPP.

Justeru, kami merayu agar warga kampus membuka mata dan minda untuk menilai dengan teliti dan membuat keputusan terbaik dalam pilihanraya akan datang. Jom turun beramai-ramai dalam penamaan 8 Januari ini di Fakulti-fakulti dan Pusanika bagi calon umum.

Salam Pilihanraya Kampus

Assalamualaikum WBT.

AlhamduliLlah, segala puji selayaknya ditujukan ke hadrat Ilahi, kerana hanya dengan keizinan dariNya maka sekali lagi IPU melalui Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia akan sekali lagi memperjuangkan perubahan dan keadilan di perbukitan ilmu UKM ini.

Moga dengan bantuan dan rahmat dariNya , dapat dipermudahkan jalan, ditunjukkan panduan, dan dibukakan hati seluruh warga kampus untuk menerima dan sama-sama memperjuangkan perubahan dalam Majis Perwakilan Pelajar, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, MPP PMUKM.

Membina Mahasiswa Penggerak Ummah, MAMPU bersama-sama rakan-rakan dari GMM (Gerakan Mahasiswa Maju), Malaysia Youth Democratic Movement (DEMA), JKMI (Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i), Indian Democratic Council, Pertubuhan Mahasiswa Sosialis UKM, GMLN (Gerakan Mahasiswa Lantang Negara), GAPIM (Gerakan Pelajar Intelek Malaysia), Solidariti Hak Asasi Mahasiswa UKM, Laws Faculty Council (LawFaC), Pertubuhan Mahasiswa Profesional Perubatan & Kesihatan UKM (Pro-PKUKM), KARISMA (Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Johorian dan Penang Gite beserta beberapa persatuan rasmi yang ingin nama mereka dirahsiakan telah bersepakat untuk menubuhkan Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, GMUKM.

Laman bog ini diwujudkan khusus untuk memberikan info terkini mengenai Piihanraya Kampus yang akan berlangsung tak lama lagi iaitu pada 15 Januari 2009. Semoga rakan-rakan Mahasiswa dapat menilai dan membuat keputusan sendiri terhadap apakah yang lebih baik untuk masa depan UKM dan warganya keseluruhan.