Monday, May 4, 2009

Membongkar untuk menyegarkan ingatan...

Demam peperiksaan di UKM sudah hampir kebah. Kepanasan suasana hangat peperiksaan kian mereda dan kampus UKM akan kembali lengang buat seketika. Warga kampus sedikit demi sedikit akan meninggalkan perkarangan Kampus untuk berehat seketika mahupun menjalani aktiviti sem pendek di kampus.

Ramai yang tidak sedar akan bahaya dan bencana yang akan berlaku dan melanda UKM sekembalinya warga kampus ke UKM awal Julai nanti. Rentetan isu yang berlaku di dalam UKM akan terus menimbulkan suasana yang genting dan getir.




Penginapan di Kolej kediaman merupakan isu asas yang pertama. Turut berkait rapat dengan isu penginapan kolej ini adalah isu kenaikan yuran, JAKSA dan corak pengurusan pentadbiran kolej.

Mengekori rapat di belakang isu kolej kediaman, ialah isu Kompetensi Generik. Genap satu tahun bersamaan 2 sem, kompetensi generik ini diperkenalkan. Sejauh mana sistem ini memberikan faedah dan kemudahan kepada pelajar?

Isu yang ketiga, sering dianggap isu bermusim, iaitu Pilihanraya Kampus. Sistem E-Undi akan diperkenalkan dalam pilihanraya kampus akan datang. Sejauh mana ketelusan sistem ini? Adakah ianya dapat memadamkan segala salah laku dan penyelewengan pihak SPR UKM, atau lebih dikenali dengan Urusetia Pemilihan MPP?

Isu keselamatan dan kebajikan juga masih berlarutan ke hari ini. Lubang-lubang di jalanan, tanah runtuh serta pelbagai isu keselamatan harta, jiwa dan kehormatan semakin berlarutan dan meningkat statistiknya dari hari ke hari.

Lama-kelamaan, isu di atas sudah pasti akan terbongkar dan disedari oleh warga kampus. Satu demi satu kesilapan dan kejahatan pihak-pihak tertentu akan dipertontonkan. Pesanan kami kepada pihak-pihak yang terlibat, bertaubatlah sebelum terlewat.

Sesungguhnya "pertolongan" Allah itu sangat dekat.

Himpunan Hitam 7 Mei, Perak.

Krisis perlembagaan yang berlaku di Perak telah sampai ke kemuncaknya. Kerajaan yang sebelum ini dilihat gagal memahami dan menyelesaikan krisis yang berlaku di Perak, perlu berbuat sesuatu agar kesilapan mereka tidak terus menjadi bualan dan pertikaian rakyat.

Hanya ada satu jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Perak, iaitu pembubaran DUN. Rakyat perlu diberi penghormatan untuk mengadili pemimpin mereka sendiri. Keputusan rakyat merupakan keputusan yang paling luhur dan suci yang perlu dihormati oleh parti pembangkang mahupun parti yang memerintah.

7 Mei, akan kembali mengingatkan rakyat mengenai apa yang berlaku di Perak. Polis, mahkamah, media massa, SU Kerajaan Negeri, SPRM dan pelbagai institusi serta badan-badan tertentu telah dipergunakan untuk menyelesaikan krisis ini. Turut tercemar, kedaulatan institusi DiRaja. Kesemua media dan medium dikerahkan secukupnya untuk mengaburi mata dan pengetahuan rakyat.

Kerajaan perlu menginsafi tindakan mereka dan kembali ke jalan yang benar dengan membubarkan DUN untuk memberi ruang kepada rakyat untuk memilih atas nama demokrasi. Sokongan rakyat telah dipertontonkan dalam pilihanraya kecil sebelum ini, dan sudah pastinya akan terus diperlihatkan pada 7 Mei nanti.

maklumat lanjut:-
harakahdaily
Anwaribrahim
misbahulmunir