Sunday, March 20, 2011

Ucapan takziah di atas kemangkatan Bonda Yang Di-Pertuan Agong

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah,segala puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Mereka yang jika bencana musibah menimpa mereka, mereka berkata: "Kepada Allahlah kita datang , dan kepadaNya jualah kita kembali."

( al-Baqarah:156 )

Mati dan ajal merupakan suatu ketetapan dari Allah SWT.Oleh itu ia merupakan pengakhiran yang baik bagi mereka yang berfikir lantas bertindak dan pengakhiran yang buruk bagi mereka yang mensia-siakan peringatan tersebut.

Kami bagi pihak MAMPU mengucapkan setinggi takziah di atas kemangkatan bonda kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada awal pagi tadi. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan yang dimuliakan Allah. Al-Fatihah..

****************************************************

Bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah mangkat di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada pukul 1.22 pagi ini.


Kemangkatan baginda, 78, diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki turut memaklumkan bahawa jenazah almarhum akan dibawa pulang ke Kuala Terengganu melalui Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Jenazah almarhum berlepas dari pengkalan itu kira-kira 10.45 pagi ini menggunakan pesawat C130 TUDM.

Mengiringi jenazah ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang berlepas dari pengkalan itu dengan pesawat khas.

Antara yang turut berada di Pengkalan TUDM ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Jenazah akan dibawa ke Istana Maziah, Kuala Terengganu untuk penghormatan terakhir dan urusan pengebumian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu hari ini, rakyat jelata diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir bermula pukul 1 petang sehingga 2.30 petang.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang petang ini.

Almarhum Tengku Bahriya yang diputerakan pada 31 Ogos 1933 di Klang Selangor berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud yang pada masa itu bergelar Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda pada 22 Mac 1952 di Kuala Lumpur.

Almarhum selepas itu dikurnia gelaran Tengku Puan Muda oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 7 April 1954 dan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20 September 1979.

- Bernama

No comments:

Post a Comment