Monday, October 18, 2010

Mahasiswa Menggugat!!!!

Allahyarham Malek ben Nabi mengingatkan betapa masyarakat tanpa idealisma adalah masyarakat yang beku. Dengan menggunakan ungkapan idea pendorong (guiding ideas), beliau menyeru agar penggilapan idealisma ini segera dilakukan. Idealisma ini pula perlu didokong oleh sikap yang betul bagi merangkul kejayaan sepertimana yang pernah digagaskan oleh Lewis Fever sebagai, "the highest degree of selflessness, generosity, compassion and readiness for sacrifice." Ungkapan tersebut menggambarkan betapa pentingnya `senjata' dan `kuasa' pengorbanan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya `Nasr Jail al-Mansyud' bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa `izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana. Beliau juga di dalam kitabnya, `Kritikan dan Saranan untuk Para Da'ie' iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

Isu remaja aktif berpolitik atau lebih khusus kepada mahasiswa hangat diperkatakan oleh banyak pihak. Ramai yang berpendapat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bukan aktiviti berpolitik. Namun, ramai juga yang menyokong penglibatan pelajar IPTA tempatan dalam politik tanahair; suatu petanda positif ke arah menghasilkan barisan pelajar yang kritis dan prihatin. Kemampuan mereka menggegarkan dunia politik tanahair telah lama terbukti apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimaktubkan di dalam perlembagaan negara.

Perjuangan menentang kezaliman politik negara telah menjadi agenda utama kebangkitan "Anti-Establishment " di kalangan mahasiswa tempatan; satu fenomena yang telah mula menjadi norma masyarakat Malaysia semenjak tahun 70-an lagi. Antara isu lain yang turut didebatkan oleh golongan aktivis mahasiswa adalah kepincangan institusi mahkamah negara. Sistem keadilan negara hangat dikecam semasa skandal Anwar Ibrahim yang telah mencetuskan gerakan Reformasi dan akan kekal dalam sejarah sebagai salah sebuah milestone dunia politik tanahair.

Persoalannya, mampukah golongan mahasiswa tanahair hari ini bertindak cemerlang untuk memperbetulkan kesalahan keputusan pengadilan mahkamah negara?

No comments:

Post a Comment