Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar  Negara (Puspal) terus dikritik pelbagai pihak kerana tetap dengan  pendiriannya membenarkan artis 'gay' Amerika Syarikat Adam Lambert  mengadakan konsert di negara ini.
 Bagi Persatuan  Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), konsert anjuran Marctensia  Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music itu harus dibatalkan  kerana ia didakwa melanggarkan perlembagaan dan Rukun Negara.
Presiden PPMM, Zainul Rijal Abu Bakar (
kiri)  berkata, tafsiran undang-undang dalam kes Meor Atiqullah, hakim  memutuskan segala dasar yang dilaksanakan hendaklah berdasarkan kaedah  hukum Islam.
"Tetapi apa yang berlaku ini jelas bercanggah dengan Islam dan meruntuhkan akhlak," kata Zainul Rijal kepada 
Malaysiakini hari ini.
Menurutnya lagi, dalam rukun negara juga digariskan soal kesopanan dan kesusilaan dan bukannya "terkinja-kinja" dalam konsert.
Walaupun dibantah kuat, terutamanya oleh 
PAS, konsert sulung 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dilaporkan 
boleh diteruskan dengan syarat ia menepati garis panduan, antaranya tidak melibatkan kelakuan melampau ketika persembahan. 
  Ketua Penolong Setiausaha Puspal Mohd Dian Nais dilaporkan berkata  penganjurnya telah diberikan penerangan mengenai peraturan lain yang  perlu dipatuhi termasuk jarak 7.5 meter antara pentas dan penonton. 
Wabak 'halalkan' gayBeliau  juga memberitahu, Puspal sebelum ini pernah menghentikan konsert Akon  di Sunway Pyramid kerana artis tersebut membuka bajunya ketika  persembahan.
 Sementara itu, dua lagi persatuan  mahasiswa Islam - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan  Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) - turut  menghamburkan 'kemarahan' yang sama kepada Puspal, agensi bawah  Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu. 
Menurut Presiden Gamis Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (
kanan), konsert itu akan menjadi "wabak" dan ikutan remaja Malaysia untuk 'menghalalkan' budaya gay. 
"Ambillah  iktibar dari sirah kaum Nabi Lut yang akhirnya dtimpakan bala bencana  yang dahsyat oleh Allah dan kesannya boleh dilihat hingga hari ini,"  katanya dalam satu kenyataan.
 
Sementara Presiden ISIUKM Mohd Nazri Mohd Tahir pula berkata, di negara ini hubungan sejenis ditolak sepenuhnya. 
"Jadi  mengapa pihak kerajaan masih lagi membenarkan artis tersebut masuk ke  negara ini? Perkara ini boleh diibaratkan seolah-olah hendak mengubat  penyakit tetapi dalam masa yang sama membiarkan virus-virus yang membawa  penyakit terus berlegar-legar dengan bebasnya," katanya.
 
Konsert sulung Lambert dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil. 
Lambert,  28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada  California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment  pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam  pasaran.