Khalifah dalam pengertian linguistik merupakan wakil pemimpin. Manakala berdasarkan takrifan istilah merujuk kepada wakil yang diamanahkan oleh Allah untuk mentadbir urusan di bumi, melalui Penegakan Islam sebagai Ad-Deen, dan mentadbir segala urusan dengan Islam.
Berdasarkan istilah manusia, ataupun human oleh barat, manusia disebut sebagai "crowning creature" yang memiliki pelbagai keistimewaan. Keistimewaan yang paling utama ialah kemampuan menggunakan otak untuk berfikir yang membolehkan manusia membuat pilihan dalam kehidupan seharian.
Sebab itu, istilah khalifah dengan manusia sangat berkait rapat dalam menentukan corak ketamadunan hidup sesebuah bangsa. Jika difahami dengan teliti, keupayaan manusia untuk berfikir dan memilih berbanding benda hidup atau benda bukan hidup yang ada di dunia ini merupakan alasan yang sangat kukuh kenapa manusia yang seharusnya memikul tanggungjawab memakmurkan bumi ini.
Manusia telah dipilih oleh Tuhan untuk menguruskan segala hidupan dan sumber alam yang telah dicipta oleh Tuhan. Tuhan telah melengkapkan ciri-ciri "pengurus dunia" terhadap manusia dan Tuhan juga telah menentukan segala perkara yang berlaku di atas muka bumi ini pada kadar dan ukurannya (sunnatuLlah) untuk memudahkan urusan manusia.
Tiada lembu yang dapat memakan makanan selain rumput dan daun, tiada pula kucing yang dapat memakan selain daging dan ikan, juga tiada bintang yang akan berhenti daripada menyinar, tiada planet yang berhenti berputar, tiada sungai yang tidak mengalir, tiada pantai yang tidak berombak. Semuanya ketentuan Tuhan untuk membantu urusan hidup manusia.
"Dialah (Allah) yang telah menjadikan Matahari sebagai pelita, dan bulan bercahaya, dan menetapkan tempat-tempat peredaran (bulan dan matahari) untuk kamu(manusia) bilangan tahun dan kiraan masa. Tidaklah Allah menjadikan yang demikian kecuali dengan haq(kebenaran). Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada kaum yang mahu berilmu" Al-Quran.
Urusan politk dalam Islam sangat bersangkutan dengan keterangan di atas. Manusia perlu kembali kepada hakikat penciptaan, meyakini Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rabb kepada sekalian alam, serta kembali kepada seruan untuk beramal dan bekerja berpandukan manual yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril. Juga menjadikan model kehidupan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang wajib untuk diikut.
Menerusi pemikiran seperti ini, akan lahirlah politikus yang berfikir dengan corak dan gaya pemikiran Islam. Bukan politik kepartian, bukan juga politik perkauman, bukan politik inidividu, apalagi politik wang. Memahami tuntutan berpolitik untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Berpolitik untuk mentadbir urusan ciptaan berdasarkan acuan Penciptanya. Sentiasa meletakkan Islam dan Kalimah Allah yang Maha Tinggi di tempat yang paling tinggi dalam setiap urusan politk dan kehidupan sehariannya.
"Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu"; Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui; Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi; Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (YaaSiin, 36: 79-83)
No comments:
Post a Comment