Thursday, June 11, 2009

Status halal Sisters In Islam, perlu dikaji semula.


Sisters In Islam (SIS) merupaka sebuah badan bukan kerajaan, NGO, yang diasaskan pada tahun 1988 dan didaftarkan pada 1993 secara rasmi. Objektif penubuhan SIS ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada wanita-wanita Islam mengenai hak-hak asasi sebagai seorang wanita Islam, menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi gender dan penindasan terhadap wanita muslim, dan menimbulkan kesedaran mengenai isu persamaan gender, keadilan, kebebasan, dan demokrasi dalam Islam.

Pelbagai isu kaum wanita telah diperjuangkan oleh SIS sejak ianya mula ditubuhkan. Mereka lantang menyuarakan pandangan dan pendapat mereka apabila ada isu-isu sensitif berkaitan dengan hak asasi wanita Islam. Antara isu yang pernah diperjuangkan oleh SIS adalah sepeti berikut:-

- Muslimah menjadi Imam solat kepada lelaki dan perempuan.
- Poligami dalam Islam
- Suara wanita adalah Aurat
- Undang-undang keluarga Islam
dan banyak lagi.

Keraguan terhadap SIS ini timbul adalah kerana intipati ajaran serta pemahaman Islam yang terkandung di dalamnya. Adapun, tidak dapat dapat dinafikan bahawa kewujudan SIS sebagai satu badan bukan kerajaan dapat membela nasib kaum wanita Islam yang tertindas. Hakikatnya, adalah menjadi keperluan untuk diwujudkan sebuah badan yang dapat memelihara hak-hak wanita supaya tidak mudah ditindas oleh kaum lelaki.

Namun, apabila fungsi SIS ini dilihat seolah-olah cuba mewujudkan fahaman baru mengenai status wanita dalam Islam, maka kewujudannya perlu dipertimbangkan kembali. Ditambah dengan identiti Islam yang dijaja oleh SIS, sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan dalam kefahaman Islam mengenai kedudukan wanita dalam Islam.

Wednesday, June 10, 2009

Krisis Selatan Thai - Asimilasi "Kesiaman"

Isu kekejaman di Selatan Thailand sebenarnya bukanlah isu terpencil. Di mana-mana, di seluruh dunia berlaku kekejaman yang seruapa, cuma mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza. Bukan secara kebetulan, mangsa pergolakan di dunia ini adalah Umat Islam. Bermula tahun 2003, pelancaran perang secara besar-besaran terhadap umat Islam telah dimulakan oleh Amerika dan sekutunya Eropah, ke atas negara Umat Islam. Bermula dengan perang ke atas Iraq, Afghanistan sehinggalah ke hari ini, label pengganas sudah semakin sebati dengan Umat Islam.

Jika diperhati dengan teliti, isu keganasan di Peshawar, Selatan Thailand, Filipina, dan yang paling teruk di Palestin, memperlihatkan Umat Islam sebagai pengganas dan "diganasi". Kerakusan pemerintah memperlakukan Umat Islam sedemikian rupa disokong pula dengan kempen "Anti-Terrorist" tajaan Amerika dan sekutu, perasmian kempen ini pula bermula sejurus selepas peristiwa September 11.

Jika merujuk kepada sejarah, pemberontakan Umat Islam di Selatan Thailand ini dikaitkan dengan sejarah Perjanjian Anglo Siam 1909 yang telah membahagikan Negeri Melayu di Utara. Wilayah Selatan Thai yang terdiri daripada Pattani, Narathiwat, dan Yala pada asalnya adalah sebahagian daripada Tanah Melayu tetapi telah diserahkan oleh British kepada negara Thai menerusi perjanjian Bangkok 1909.

Diskriminasi pihak kerajaan juga usaha untuk mengasimilasikan penduduk selatan Thai dengan adat dan budaya Thai yang menganut Agama Buddha telah menimbulkan reaksi kurang senang oleh Umat Islam Selatan Thai. Semua penduduk dilarang berbahasa dengan selain daripada Bahasa Siam, serta mengurangkan pendidikan agama Islam menerusi ancaman yang mereka kenakan terhadap guru-guru Agama Islam di sana.

Kekejaman demi kekejaman dilakukan ke atas umat Islam, malah kesalahan itu dituding pula kepada Umat Islam. Umat Islam sering dianggap bersalah kerana terlalu vokal menyatakan bantahan dan pembelaan ke atas nasib saudaranya sendiri.

Sehingga kini lebih 3700 nyawa umat Islam Selatan Thai telah menjadi korban. Separuh daripada jumlah itu adalah guru-guru dan imam-imam yang sentiasa diburu oleh kerajaan siam.

Kekeman Di Selatan Thai

Ditembak dalam masjid


KEJAM...Waris dan penduduk kampung melihat jenazah ahli keluarga yang ditembak mati ketika berjemaah solat isyak di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan di selatan Thailand, kelmarin. – UTUSAN/HAFIZ JOHARI


SUNGAI GOLOK (Selatan Thai) 9 Jun – Kejam dan tidak berperikemanusiaan!
Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, 50 kilometer dari bandar ini kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.

Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.

‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.

‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.

‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.

Hassan berkata, penyerang dipercayai memasuki kawasan masjid melalui hutan dan kawasan ladang getah di bahagian belakang bagi memastikan kehadiran mereka tidak disedari.

Katanya, pembunuh kejam itu tidak memasuki masjid melalui pintu utama kerana ia diterangi dengan cahaya lampu.

‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.

‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.

‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati,” katanya.

Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.

Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

Tinjauan juga mendapati dinding dalam masjid tersebut turut dipenuhi kesan tembakan dan kawalan keselamatan di kampung berkenaan ditingkatkan.

Tuesday, June 9, 2009

Politik-Kampus Dibuka Untuk Tatapan Politikus Islam

Tinggal lebih kurang 3 Minggu sebelum UKM menyambut kedatangan Mahasiswa/i Baru sesi 2009/2010. Pelbagai persiapan nampaknya rancak berjalan, baik di pihak Pentadbiran dan HEP, Pihak Aspirasi dan Proksi-proksi mereka, tidak kurang juga persiapan yang dibuat oleh Mahasiswa-Mahasiswa Tulen UKM. Justeru, bersempena dengan "semangat" Mahasiswa/i baru nanti, Politik-Kampus juga kembali ke alam bloggerz bagi menyemarakkan lagi alam informasi Mahasiswa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan pertama kemasukan Mahasiswa baru merupakan bulan yang paling sibuk dalam kalendar tahunan warga UKM. Bermula dengan sesi pendaftaran yang diikuti dengan Minggu Mesra Mahasiswa, MMP (kini digantikan Mahasiswa dengan Pelajar), seterusnya Minggu Pengenalan Persatuan Mahasiswa, M3P (juga digantikan Mahasiswa dengan Pelajar). Sengaja dimulakan Artikel kali ini dengan perubahan istilah kerana ia merupakan cerminan utama pembawaan pihak Hal Ehwal Mahasiswa, HEP(Sama seperti di atas) terhadap perjalanan Bulan Pertama Mahasiswa Baru.

Sedaya mungkin, sesetengah pihak ini cuba mengurangkan "kehebatan" gelaran Mahasiswa dan menggalakkan Mahasiswa supaya datang ke UKM untuk belajar semata-mata. Maka lahirlah ribuan pelajar "cemerlang", mengikut tafsiran kamus terbitan Aspirasi dan (ibu-bapa mereka) HEP. Sedangkan, dalam suasana masyarakat dan dunia yang kritikal ketika ini, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sangat-sangat diharapkan agar dapat melahirkan cendekiawan yang mampu menyelesaikan masalah umat.

Mutakhir ini, Mahasiswa bukan sahaja gagal mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, malah mereka menjadi kelompok paling popular dalam senarai penyumbang masalah terbesar negara.

Pemimpin-pemimpin lebih ramai yang menjerit di atas keperitan rakyat. Lebih ramai yang berbahas mengenai rakyat yang tertindas. Namun, ramainya mereka hanyalah ramai keramaian yang membazir dan mensia-siakan.

Mahasiswa perlu bangkit, tidak hanya menyalak di dalam kelompok sendiri, sebaliknya turun dan terjun ke dalam masyarakat. Jika kita singkap peranan Mahasiswa era 70-an, mereka bukan sekadar menjerit apabila mereka dicubit, bahkan merekalah yang menjadi corong-corong pembesar suara rakyat. Mereka bangun di atas kesakitan rakyat, dari rakyat mereka datang kepada rakyat mereka kembalikan.

Pesanan untuk teman-teman Mahasiswa, ayuh kita Gerakkan Kuasa Mahasiswa!!!

Monday, May 4, 2009

Membongkar untuk menyegarkan ingatan...

Demam peperiksaan di UKM sudah hampir kebah. Kepanasan suasana hangat peperiksaan kian mereda dan kampus UKM akan kembali lengang buat seketika. Warga kampus sedikit demi sedikit akan meninggalkan perkarangan Kampus untuk berehat seketika mahupun menjalani aktiviti sem pendek di kampus.

Ramai yang tidak sedar akan bahaya dan bencana yang akan berlaku dan melanda UKM sekembalinya warga kampus ke UKM awal Julai nanti. Rentetan isu yang berlaku di dalam UKM akan terus menimbulkan suasana yang genting dan getir.




Penginapan di Kolej kediaman merupakan isu asas yang pertama. Turut berkait rapat dengan isu penginapan kolej ini adalah isu kenaikan yuran, JAKSA dan corak pengurusan pentadbiran kolej.

Mengekori rapat di belakang isu kolej kediaman, ialah isu Kompetensi Generik. Genap satu tahun bersamaan 2 sem, kompetensi generik ini diperkenalkan. Sejauh mana sistem ini memberikan faedah dan kemudahan kepada pelajar?

Isu yang ketiga, sering dianggap isu bermusim, iaitu Pilihanraya Kampus. Sistem E-Undi akan diperkenalkan dalam pilihanraya kampus akan datang. Sejauh mana ketelusan sistem ini? Adakah ianya dapat memadamkan segala salah laku dan penyelewengan pihak SPR UKM, atau lebih dikenali dengan Urusetia Pemilihan MPP?

Isu keselamatan dan kebajikan juga masih berlarutan ke hari ini. Lubang-lubang di jalanan, tanah runtuh serta pelbagai isu keselamatan harta, jiwa dan kehormatan semakin berlarutan dan meningkat statistiknya dari hari ke hari.

Lama-kelamaan, isu di atas sudah pasti akan terbongkar dan disedari oleh warga kampus. Satu demi satu kesilapan dan kejahatan pihak-pihak tertentu akan dipertontonkan. Pesanan kami kepada pihak-pihak yang terlibat, bertaubatlah sebelum terlewat.

Sesungguhnya "pertolongan" Allah itu sangat dekat.

Himpunan Hitam 7 Mei, Perak.

Krisis perlembagaan yang berlaku di Perak telah sampai ke kemuncaknya. Kerajaan yang sebelum ini dilihat gagal memahami dan menyelesaikan krisis yang berlaku di Perak, perlu berbuat sesuatu agar kesilapan mereka tidak terus menjadi bualan dan pertikaian rakyat.

Hanya ada satu jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Perak, iaitu pembubaran DUN. Rakyat perlu diberi penghormatan untuk mengadili pemimpin mereka sendiri. Keputusan rakyat merupakan keputusan yang paling luhur dan suci yang perlu dihormati oleh parti pembangkang mahupun parti yang memerintah.

7 Mei, akan kembali mengingatkan rakyat mengenai apa yang berlaku di Perak. Polis, mahkamah, media massa, SU Kerajaan Negeri, SPRM dan pelbagai institusi serta badan-badan tertentu telah dipergunakan untuk menyelesaikan krisis ini. Turut tercemar, kedaulatan institusi DiRaja. Kesemua media dan medium dikerahkan secukupnya untuk mengaburi mata dan pengetahuan rakyat.

Kerajaan perlu menginsafi tindakan mereka dan kembali ke jalan yang benar dengan membubarkan DUN untuk memberi ruang kepada rakyat untuk memilih atas nama demokrasi. Sokongan rakyat telah dipertontonkan dalam pilihanraya kecil sebelum ini, dan sudah pastinya akan terus diperlihatkan pada 7 Mei nanti.

maklumat lanjut:-
harakahdaily
Anwaribrahim
misbahulmunir

Wednesday, April 22, 2009

Isu Buang dan Pindah Kolej: Meritokrasi atau kronisasi?


En. Zulkafli Amat
Ketua Unit Perumahan Pelajar
Sistem penginapan bagi pelajar UKM diuruskan oleh Unit Perumahan Pelajar(UPP) di bawah Jabatan Perkhidmatan Pelajar(JPPel), Bahagian hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM. Antara fungsi utama UPP ini adalah menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan konduksif untuk mahasiswa di dalam dan di luar kampus dan berfungsi sebagai badan pentadbiran/penyelarasan penempatan pelajar di kolej-kolej kediaman termasuk penyediaan infrastruktur dan pendidikan dalam konteks pengembangan serta pembangunan diri pelajar di kolej. UPP pula menjadi unit yang bertanggungjawab menjadi penghubung dan penyelenggara antara semua kolej kediaman.


Mutakhir ini, pelbagai laporan mengenai penempatan kolej di kampus induk Bangi dibuat oleh pelajar-pelajar UKM. Laporan ini dibuat berikutan tindakan bahagian pengurusan kolej memindahkan atau membuang sebahagian pelajar yang menghuni di kolej tersebut. Antara kolej yang dilihat begitu popular dalam isu buang kolej ini adalah Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibrahim Yaakub, Kolej Aminuddin Baki, dan Kolej Rahim Kajai.


Beberapa orang pelajar yang turut dibuang/dipindahkan kolej telah menemui pimpinan IPU bagi meluahkan kekesalan mereka berkenaan isu ini. Malah, ada segelintir di kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai penyokong aspirasi, turut dibuang daripada kolej yang mereka huni ketika ini. Ada pelajar yang dibuang(Tidak berjaya ditempatkan di mana-mana kolej), dan ada pula yang sekadar dipindahkan iaitu ditukarkan ke kolej selain daripada kolej asal, Kolej Pembuangan yang popular pula ialah Kolej Pendeta Za'aba dan Kolej Idris Al-Marbawi.


Walaupun penambahbaikan sistem telah dilakukan dari semester ke semester, bermula dari sistem merit kad aktif kolej sehinggalah merit melalui online, namun kecanggihan sistem ini dilihat gagal menangani isu penempatan kolej di kalangan pelajar UKM. Dua(2) faktor utama berlakunya krisis ini adalah:

1. Sistem penandaan markah/merit yang tidak meliputi keseluruhan aktiviti pelajar.

a. Tidak semua persatuan diberikan merit kolej. Antara persatuan yang dianak-tirikan ialah ISIUKM dan Persatuan anak Negeri.

b. Tidak memberikan kredit yang sepatutnya terhadap penglibatan pelajar di Fakulti atau di persatuan-persatuan selain di kolej.

c. Penilaian lebih bertumpu kepada penglibatan di kolej menyebabkan pelajar-pelajar yang mewakili UKM dalam pertandingan Nasyid dan sebagainya tidak diberikan hak untuk mendapatkan merit di kolej.

2. Penguatkuasaan sistem merit.

a. ada pelajar-pelajar aktif sehingga mendapat merit sebanyak 30 di peringkat kolej, fakulti mahupun universiti yang tidak mendapat tempat.

b. Ada pelajar-pelajar yang langsung tidak terlibat dengan sebarang aktiviti di sebarang peringkat mendapat penginapan di kolej sepanjang tempoh pengajian.

c. Pengetua, Pengurus kolej, dan pegawai-pegawai pentadbir kolej diberikan kelonggaran untuk membuat pemilihan sendiri berhubung dengan penempatan pelajar di kolej.

Sehubungan itu, tindakan segera perlu di ambil oleh pihak berkaitan supaya insiden ini tidak melarat dan mencetuskan kontorversi di kalangan pelajar. Pemerkasaan sistem perlu selari dengan penguatkuasaan yang adil telus dan berkebajikan.

Sebagai pelanggan, Mahasiswa UKM berhak untuk mendapatkan penjelasan mengenai sebarang perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan hak Mahasiswa perlu dijaga dan diutamakan. Ini selaras dengan misi kepimpinan Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Seri Najib Altantuya, Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.