Friday, March 18, 2011

Menyanggah Kenyataan, Menjawab Persoalan : Siri 1

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah, puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Tahniah diucapkan kepada Presiden Persatuan Mahasiswa UKM yang baru, Saudara Ahmad Muzammil Bin Muhd Hairi di atas penyampaian ucapan dasar Presiden pada Majlis Penyampaian Watikah pada hari Selasa yang lalu. Kami amat mengharapkan semoga legasi kepimpinan PMUKM yang baru akan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang berintergriti dan bertanggungjawab di atas amanah dan mandat yang telah diberikan oleh mahasiswa UKM.

Bagaimanapun merujuk analisis Saudara Kamal Ali berkenaan Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini di dalam blog beliau, pihak MAMPU selaku front utama Gabungan Mahasiswa ingin membidas beberapa lontaran daripada beliau mengenai Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan pada Majlis Penyampaian Watikah PMUKM pada hari Selasa yang lepas.

Memetik kenyataan Saudara Kamal Ali,

1) "Dasar Presiden pada kali ini juga menyentuh mengenai permasalahan air yang telah diperjuangkan untuk sekian lamanya. Bagi saya, dasar presiden yang lepas juga telah menyuarakan permasalahan yang sama dan pihak pengurusan universiti telah mengambil perhatian dan tindakan susulan sedang dan akan dilaksanakan. Justeru saya merasakan bahawa dasar yang dikemukan ini adalah perbuatan sia-sia kerana banyak lagi isu atau masalah pelajar yang wajar diambil perhatian oleh kepimpinan baharu PMUKM.

*Kalau diteliti,aspek air ditekankan sama pentingnya dengan isu-isu utama yang lain misalnya isu keselamatan, isu yuran mahasiswa ,isu harga dan kualiti kafeteria, juga dalam isu kemudahan prasarana kepada mahasiswa itu sendiri. Justeru peringkat ini, masih ada isu lain yang dibangkitkan sama dalam usaha melestarikan agenda kebajikan itu sendiri.

* Juga diingatkan masalah air masih belum berjaya diselesaikan dalam kadar yang terbaik, justeru tidak ada masalah jika ia dibangkitkan sekali lagi untuk tanggungjawab dan kecaknaan bersama.

* Memang banyak isu dan masalah lain yang wajar diberi perhatian, namun apabila menyebut ianya sebagai isu asas dan teras kebajikan yang meliputi kepentingan segolongan besar mahasiswa, tidak boleh tidak isu ini masih lagi perlu diberikan perhatian yang sewajarnya berbanding isu-isu yang hanya melibatkan segelintir kecil mahasiswa.

2) "Konsep kebebasan akademik yang dibawakan hanya memberikan definisi atau makna perkataan-perkataan tertentu sahaja. Ulasan-ulasan yang diberikan hanya sekadar retorik yang masih samar dan tidak berpijak pada bumi yang nyata atau terlalu idealis. Tiada sebarang cadangan mengenai bagaimana kita hendak mencapai kebebasan akademik itu sendiri. Justeru saya melihat keadaan ini merupakan satu lagi kelemahan dalam Ucapan Dasar Presiden yang telah berlangsung tempoh hari yang wajar ditangani secara bijaksana."

*Kalau diteliti, pembawaan Ucapan Dasar Presiden secara konsepnya mendatangkan maksud dan definisi di peringkat awal, disusuli dengan idea dan pendekatan konsep ini sendiri seterusnya untuk diguna pakai. Misalnya : "Konsep kebebasan akademik ini seharusnya disebarluaskan ke seluruh peringkat masyarakat dengan diterjemahkan melalui pengaplikasian hasil kajian warga universiti dalam semua bidang kepada masyarakat.

* Ini bermaksud lapangan akademik yang ada di universiti ini harus dibuka sama kepada masyarakat luar dan tidak hanya menjurus kepada warga universiti sahaja.Perlu difahami, sumbangan dalam aspek akademik bukan hanya menjurus kepada aspek material bahkan dalam penambahbaikan dalam sistem nilai juga diberi perhatian.

Malahan,paksi ini juga turut diterangkan melalui ucapan dasar tersebut,iaitu "memasyarakatkan hasil penemuan yang bermanfaat untuk diimplementasikan kepada masyarakat. Juga ditekankan sama supaya pihak Universiti memberikan sepenuh ruang kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti dan mengembangkan kreativiti tanpa batasan-batasan tertentu.

3) Tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" yang mendukung PMUKM pada sesi ini yang mempunyai 4 paksi utama saya lihat sebagai satu tema yang samar dan penuh tanya. hal ini demikian kerana, perkara apakah yang ingin dicapai dan direlisasi andai dasar yang dibawa sudah dan akan dilaksanakan oleh pengurusan universiti.

*Apabila melihat kepada pernyataan Saudara Kamal Ali, kita melihat bahawa perlunya seseorang itu memahami sesuatu pernyataan sebelum mengeluarkan sesuatu pertikaian. Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah menggambarkan ketiadaan fungsi golongan mahasiswa itu terhadap universiti. Inilah yang dimaksudkan mahasiswa menjadi golongan yang menjadi pak turut hinggakan tiada pendirian untuk membawa universiti itu ke tempat yang lebih baik.

Mahasiswa juga perlu menjadi entiti yang menentukan halatuju universiti itu sendiri.Dalam konteks ini, penekanan yang cuba dibawakan Presiden PMUKM ialah cuba mengembalikan fungsi sebenar universiti itu sendiri. Sebab itu konotasi "Realisasi Varsiti" lebih kepada memberi makna bagaimana kita mengoptimumkan fungsi varisiti itu sendiri.Bahkan,mahasiswa juga menjadi alat sokongan utama kepada pentadbiran universiti dalam memenuhi fungsi universiti itu sendiri.Fungsi sebuah universiti itu harusnya didasarkan kepada falsafah universiti UKM itu sendiri, iaitu penekanan elemen keimanan,keilmuan dan amal menjadi teras di sebalik penubuhan universiti ini sendiri.

4)"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" merupakan peribahasa yang digunakan dalam ucapan dasar presiden yang mahu mewujudkan masyarakat kampus yang mempunyai perpaduan dan nilai kebersamaan yang tinggi. Perkara ini juga telah disentuh dan dihujahkan dalam dasar presiden sesi lepas yang membawa dan menyokong gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan. Perkara ini menunjukkan tiada satu langkah atau cadangan konkrit yang dikemukakan sebaliknya hanya retorik yang tiada bermakna. PMUKM kali ini juga dilihat seperti tidak menerima gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan kerana tiada satupun seruan agar mahasiswa menggunakan dan menyemai budaya 1Bangsa 1 Malaysia.

*Kami tidak pasti adakah saudara Kamal Ali tidak menghayati sepenuhnya ucaspan dasar yang dibawakan Presiden sebelum melontarkan kritikan. Dalam paksi ini, Presiden mendatangkan beberapa objektif seperti usaha meningkatkan dan memupuk budaya malaysia berasaskan nilai moral dan kepelbagaian budaya yang diterima semua kaum. Adalah jelas pendekatan yang cuba dibawakan termasuklah menggiatkan dialog-dialog dan rundingan antara kaum bagi mengukuhkn persefahaman. Malahan, PMUKM juga berusaha mewujudkan jaminan peluang yang lebih banyak dan hak keadilan kepada mahasiswa dalam membangunkan diri serta masyarakat tanpa mengira batasan kaum dan perbezaan ideologi.

Untuk yang terakhirnya,kami mengucapkan tahniah kepada pihak saudara Kamal Ali kerana sudi merespon Ucapan Dasar Presiden pada sesi kali ini.Bagi MAMPU, kami sentiasa menyokong penuh budaya perbahasan dalam menyokong penuh usaha PMUKM pada sesi kali ini yang berusaha mewujudkan kedinamikan intelektual di samping aspek kebebasan akademik di universiti kita ini.

"Membina Mahasiswa Penggerak Ummah"

No comments:

Post a Comment