Showing posts with label Mahasiswa Mencabar. Show all posts
Showing posts with label Mahasiswa Mencabar. Show all posts

Wednesday, July 15, 2009

Slogan Politik GM, "Bersatu Berubah"

Mahasiswa perlu menjadi elemen Periksa dan Imbang di dalam negara. Kedudukan Mahasiswa yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan boleh dianggap sebagai neutral dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Walaupun Mahasiswa bebas untuk berideologi, namun Mahasiswa masih dianggap sebagai golongan yang mempunyai suara keramat.

Berpolitik sebenarnya bukanlah karier sebenar Mahasiswa. Bahkan saya yakin, politik juga tidak layak menjadi karier sesiapapun yang mendakwa mereka pejuang agama Allah. Sebaliknya politik hanyalah sebagai wasilah untuk berdakwah. Menyampaikan mesej Islam, dan mentadbir urusan dunia ini melalui perlembagaan Tuhan yang diutuskan kepada manusia melalui penyampai yang paling mulia di kalangan manusia.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, seseorang itu perlu terlebih dahulu memahami apakah sebenarnya tuntutan dan natijah yang diharapkan daripada politik itu sendiri. Seperti penjelasan di atas, tuntutan utama politik ialah melaksanakan amanah wakil pemerintahan Tuhan di dunia, Khalifah, iaitu menegakkan Ad-Deen dan mentadbir bumi ini dengan Ad-Deen.

Ad-Deen merujuk kepada cara hidup yang sempurna, sejahtera, dan selamat dari segala bentuk kekacauan dan kerosakan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Bagi mereka yang memahami kedudukan Islam sebagai Ad-Deen, sudah pasti mereka juga akan merasai keindahan dan kesempurnaan ajaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Politik diperlukan supaya mesej penerangan cara hidup anjuran Islam ini dapat difahami dan diamalkan oleh semua manusia. Sesuai dengan firmanNya, "Tidaklah Kami mengutuskan kamu(wahai Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat sekalian alam"

Sebenarnya, nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam ini terlalu banyak dan anda tidak akan dapat memahami nilai ini jika Orang Islam yang dijadikan ABM (Alat Bantuan Mengajar). Ada juga, bahkan ramai orang bukan Islam yang lebih "Islam" cara hidupnya berbanding orang Islam sendiri. Walaupun mereka tetap dipanggil orang bukan Islam kerana pegangan Aqidah mereka, namun cara hidup mereka sebenarnya jauh lebih baik dari segelintir umat Islam yang ada.

Mahasiswa perlu menyedari hakikat ini. Perubahan yang ingin dilakukan bukanlah mengubah seluruh struktur hidup yang ada dalam masyarakat. Kita tidak perlu merombak semuanya, kerana mungkin ada nilai-nilai Islam di situ. Jika dilihat secara dasarnya juga, Islam telah menjadi teras di UKM. Apabila keimanan, ilmu dan amal dijadikan teras, maka akan lahirlah generasi berilmu dan terpelajar yang akan membangunkan universiti.

Malangnya, dasar yang baik ini dilihat gagal diamalkan dengan baik. Perlaksanaan yang lemah dan perlu kepada perubahan kecil terhadapnya. Semua pihak bertanggungjawab untuk menjayakan perubahan ini.


"Politic is the art of soluble"

Tuesday, June 9, 2009

Politik-Kampus Dibuka Untuk Tatapan Politikus Islam

Tinggal lebih kurang 3 Minggu sebelum UKM menyambut kedatangan Mahasiswa/i Baru sesi 2009/2010. Pelbagai persiapan nampaknya rancak berjalan, baik di pihak Pentadbiran dan HEP, Pihak Aspirasi dan Proksi-proksi mereka, tidak kurang juga persiapan yang dibuat oleh Mahasiswa-Mahasiswa Tulen UKM. Justeru, bersempena dengan "semangat" Mahasiswa/i baru nanti, Politik-Kampus juga kembali ke alam bloggerz bagi menyemarakkan lagi alam informasi Mahasiswa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan pertama kemasukan Mahasiswa baru merupakan bulan yang paling sibuk dalam kalendar tahunan warga UKM. Bermula dengan sesi pendaftaran yang diikuti dengan Minggu Mesra Mahasiswa, MMP (kini digantikan Mahasiswa dengan Pelajar), seterusnya Minggu Pengenalan Persatuan Mahasiswa, M3P (juga digantikan Mahasiswa dengan Pelajar). Sengaja dimulakan Artikel kali ini dengan perubahan istilah kerana ia merupakan cerminan utama pembawaan pihak Hal Ehwal Mahasiswa, HEP(Sama seperti di atas) terhadap perjalanan Bulan Pertama Mahasiswa Baru.

Sedaya mungkin, sesetengah pihak ini cuba mengurangkan "kehebatan" gelaran Mahasiswa dan menggalakkan Mahasiswa supaya datang ke UKM untuk belajar semata-mata. Maka lahirlah ribuan pelajar "cemerlang", mengikut tafsiran kamus terbitan Aspirasi dan (ibu-bapa mereka) HEP. Sedangkan, dalam suasana masyarakat dan dunia yang kritikal ketika ini, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sangat-sangat diharapkan agar dapat melahirkan cendekiawan yang mampu menyelesaikan masalah umat.

Mutakhir ini, Mahasiswa bukan sahaja gagal mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, malah mereka menjadi kelompok paling popular dalam senarai penyumbang masalah terbesar negara.

Pemimpin-pemimpin lebih ramai yang menjerit di atas keperitan rakyat. Lebih ramai yang berbahas mengenai rakyat yang tertindas. Namun, ramainya mereka hanyalah ramai keramaian yang membazir dan mensia-siakan.

Mahasiswa perlu bangkit, tidak hanya menyalak di dalam kelompok sendiri, sebaliknya turun dan terjun ke dalam masyarakat. Jika kita singkap peranan Mahasiswa era 70-an, mereka bukan sekadar menjerit apabila mereka dicubit, bahkan merekalah yang menjadi corong-corong pembesar suara rakyat. Mereka bangun di atas kesakitan rakyat, dari rakyat mereka datang kepada rakyat mereka kembalikan.

Pesanan untuk teman-teman Mahasiswa, ayuh kita Gerakkan Kuasa Mahasiswa!!!

Friday, January 30, 2009

Gerakan Mahasiswa Pasca PRK 2009

Forum Kubik Minda: Gerakan Mahasiswa Pasca Pilihanraya Kampus 2009
Episod 1
Episod 2

Ikuti forum tersebut dan utarakan pandangan anda di sini.

Thursday, January 15, 2009

Gelombang Perubahan di UKM.

Alhamdulillah, segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana hanya dengan izin dan rahmatNya gelombang perubahan melanda UKM. Dia yang memiliki hati-hati manusia, Dia jugalah Raja kepada segala Raja, Pemimpin kepada segala Pemimpin, Dialah yang memiliki dan menentukan segala-galanya.

Pada kali ini, Mahasiswa dikejutkan dengan keputusan yang memberansangkan, sebanyak 12 kerusi berjaya diperolehi, sekaligus menafikan majoriti 2/3 calon sistem(aspirasi). Calon-calon sistem yang dicatur oleh tangan-tangan ghaib ternyata menjadi semakin goyah apabila monopoli mereka dalam kerusi umum telah ditembusi oleh calon-calon Mahasiswa. Namun, calon-calon sistem masih berjaya mendominasi kerusi MPP dengan bantuan instrumen "ugutan" dan "paksaan" terhadap pelajar tahun 1 dan 2 yang memberikan mereka majoriti mudah melalui 18 kerusi yang dipengaruhi pelajar tahun 1 dan 2.

Mahasiswa berjaya memberikan amaran dan isyarat yang jelas kepada "sistem" bahawa Mahasiswa sudah bosan diperkotak-katikkan. Untuk pengetahuan, sebanyak 12 perjumpaan haram diadakan oleh kolej-kolej yang mengandungi doktrin ugutan dan paksaan terhadap pelajar yang menghuni di kolej, khususnya pelajar tahun 1. Dengan mesej "siapa undi GM akan dibuang kolej", calon-calon sistem berjaya membolot 6 kerusi umum, dan 8 kerusi fakulti tahun 2.

Namun begitu, semua kerusi menyaksikan pertambahan peratus undi kepada Mahasiswa kecuali di F2.19, kerusi tahun 2 Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, di UKM KL. Signifikasi perubahan ini memberikan amaran bahawa Mahasiswa menuntut perubahan.

Oleh itu, besarlah harapan Mahasiswa/i UKM untuk menyaksikan perubahan berlaku. Kepercayaan yang diberikan oleh Mahasiswa perlu dibalas dengan amanah dan komited dalam kerja bagi barisan MPP PMUKM, baik daripada Mahasiswa mahupun calon-calon sistem(aspirasi).

Kita perlu buktikan kepada tangan-tangan ghaib di belakang calon-calon sistem itu, bahawa Mahasiswa akan bangkit menuntut segala hak dan kepunyaan mereka yang dirampas sebelum ini, dengan 12 MPP yang ada, serta semua kerusi PMUKM dalam pilihanraya akan datang.

Friday, January 9, 2009

Bersatu Berubah

Kemenangan Gabungan Mahasiswa UKM, GMUKM, merupakan alamat dan petanda awal gelombang perubahan yang sudah lama dinantikan oleh Mahasiswa. Mahasiswa berjaya mengekalkan 2 kerusi di Fakulti Pengajian Islam, FPI bagi kerusi tahun 2 dan 3, juga merampas kerusi tahun 2 Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, FKAB. Namun begitu, sebenarnya kerusi tahun 3 bagi FKAB juga adalah milik Mahasiswa, namun dirampas oleh HEP dengan menggunakan teknikal sebagai alasan.

Mahasiswa, tetap tidak akan berganjak daripada terus menuntut hak kemenangan di FKAB bagi kerusi tahun 3 dan dalam masa yang sama terus-menerus berusaha membawakan perubahan bersama-sama seluruh masyarakat kampus. Kemenangan awal ini, sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat untuk sentiasa komited dengan agenda perubahan membawa harapan baru untuk semua Mahasiswa tanpa mengira ideologi, teologi, mahupun sempadan ras dan warna kulit.

Perubahan yang ingin kita kecapi bersama ini sebenarnya memerlukan sokongan padu daripada semua entiti yang ada di UKM, baik di kalangan pensyarah, pelajar, mahupun kakitangan dan pegawai-pegawai pentadbiran. Sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma dan kembali melakar kegemilangan dan keceemerlangan bersama.

Perpaduan antara kaum dan bangsa yang ada di UKM ini perlu diperkukuhkan. Kita perlu bergerak seiring dan sentiasa bekerjasama menikmati kebahagiaan dan limpahan kekayaan bersama. Disebabkan bumi ini kita pijak bersama, langit ini kita junjung bersama, apalah kiranya jika kerja buat yang kita lakukan di atas bumi ini juga dilakukan bersama. "Bersama" dalam ertikata wujudnya aktiviti saling memberi dan menerima, "give and take". Perkara ini penting kerana tiada bangsa yang tercatat dalam sejarah bangun dengan sendiri tanpa ada hubungan kerjasama dengan bangsa lain. Maka pengalaman dan pengiktibaran sejarah ini seharusnya menjadikan kita sentiasa sedar dan insaf bahawa tiada bangsa yang lebih baik mahupun sebaliknya.

Oleh kerana itu, perubahan pertama yang mesti kita lakukan adalah berubah dari keadaan perpecahan kepada kesatuan dan perpaduan. Buang segala prasangka yang menebal dalam diri. Meletakkan diri kita sama sahaja sifat dan darjatnya dengan orang lain. Tiada yang lebih mulia di kalangan manusia itu, melainkan orang yang berilmu. Kita perlu bina jambatan bagi menyeberangi sempadan yang memisahkan kita.

Bermula daripada perubahan inilah, maka kita akan dapat mewujudkan suasana dan gelombang pembaharuan yang lebih baik supaya dapat merealisasikan harapan baru mahasiswa. Bersatu Berubah!!!

Wednesday, January 7, 2009

Kehebatan Gelombang Perubahan GMUKM mula digeruni lawan...

Tinggal 3 hari untuk penamaan, 4 orang peserta bengkel kepimpinan bakal calon, A'Famosa Resort telah dipanggil oleh pengetua KTHO dalam satu perjumpaan lewat tengah malam yang dihadiri bersama felo-felo. Pertemuan yang diadakan dilihat sebagai usaha memberikan tekanan mental kepada bakal calon GMUKM yang akan menghadapi Hari Penamaan pada pagi ini, Khamis, 8 Januari 2009.

Semalam, jentera aspirasi di kolej pendeta Za'aba dilaporkan membuat sentri untuk menjaga keselamatan kolej mereka daripada ditembusi jentera GMUKM. Kolej Burhan juga tidak ketinggalan dengan memasang Kamera Litar Bersepadu CCTV di beberapa tempat untuk memberikan tekanan kepada usaha kempen GMUKM. Lebih mendukacitakan warga kampus, khususnya di kalangan Mahasiswa/i kolej burhan, mereka dihalang daripada memakai pakaian bewarna ungu, hijau dan oren pada hari ini, sebagai langkah berjaga-jaga untuk menyekat gelombang perubahan yang ingin dibawa oleh Mahasiswa semasa hari penamaan ini.

Sehubungan itu, Pemimpin GMUKM, Sdr Affandi mengajak seluruh Mahasiswa/i UKM untuk turun menyaksikan penamaan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus pada kali ini. Penamaan akan diadakan secara berasingan, bagi calon umum, Penamaan akan berjalan di Pusanika, sementara Fakulti-fakulti menjadi lokasi penamaan bagi calon kawasan fakulti masing-masing.

Beliau, yang juga bakal bertanding dalam pilihanraya kampus pada kali ini, menyeru sekali lagi kepada seluruh Mahasiswa, bahawa Pilihanraya Kampus ini adalah milik dan hak Mahasiswa. Maka Mahasiswa punya hak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pilihanraya pada kali ini.

Ayuh, kita bersatu untuk berubah dan membawakan Harapan Baru Mahasiswa.