Wednesday, June 10, 2009

Krisis Selatan Thai - Asimilasi "Kesiaman"

Isu kekejaman di Selatan Thailand sebenarnya bukanlah isu terpencil. Di mana-mana, di seluruh dunia berlaku kekejaman yang seruapa, cuma mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza. Bukan secara kebetulan, mangsa pergolakan di dunia ini adalah Umat Islam. Bermula tahun 2003, pelancaran perang secara besar-besaran terhadap umat Islam telah dimulakan oleh Amerika dan sekutunya Eropah, ke atas negara Umat Islam. Bermula dengan perang ke atas Iraq, Afghanistan sehinggalah ke hari ini, label pengganas sudah semakin sebati dengan Umat Islam.

Jika diperhati dengan teliti, isu keganasan di Peshawar, Selatan Thailand, Filipina, dan yang paling teruk di Palestin, memperlihatkan Umat Islam sebagai pengganas dan "diganasi". Kerakusan pemerintah memperlakukan Umat Islam sedemikian rupa disokong pula dengan kempen "Anti-Terrorist" tajaan Amerika dan sekutu, perasmian kempen ini pula bermula sejurus selepas peristiwa September 11.

Jika merujuk kepada sejarah, pemberontakan Umat Islam di Selatan Thailand ini dikaitkan dengan sejarah Perjanjian Anglo Siam 1909 yang telah membahagikan Negeri Melayu di Utara. Wilayah Selatan Thai yang terdiri daripada Pattani, Narathiwat, dan Yala pada asalnya adalah sebahagian daripada Tanah Melayu tetapi telah diserahkan oleh British kepada negara Thai menerusi perjanjian Bangkok 1909.

Diskriminasi pihak kerajaan juga usaha untuk mengasimilasikan penduduk selatan Thai dengan adat dan budaya Thai yang menganut Agama Buddha telah menimbulkan reaksi kurang senang oleh Umat Islam Selatan Thai. Semua penduduk dilarang berbahasa dengan selain daripada Bahasa Siam, serta mengurangkan pendidikan agama Islam menerusi ancaman yang mereka kenakan terhadap guru-guru Agama Islam di sana.

Kekejaman demi kekejaman dilakukan ke atas umat Islam, malah kesalahan itu dituding pula kepada Umat Islam. Umat Islam sering dianggap bersalah kerana terlalu vokal menyatakan bantahan dan pembelaan ke atas nasib saudaranya sendiri.

Sehingga kini lebih 3700 nyawa umat Islam Selatan Thai telah menjadi korban. Separuh daripada jumlah itu adalah guru-guru dan imam-imam yang sentiasa diburu oleh kerajaan siam.

No comments:

Post a Comment