Tuesday, June 9, 2009

Politik-Kampus Dibuka Untuk Tatapan Politikus Islam

Tinggal lebih kurang 3 Minggu sebelum UKM menyambut kedatangan Mahasiswa/i Baru sesi 2009/2010. Pelbagai persiapan nampaknya rancak berjalan, baik di pihak Pentadbiran dan HEP, Pihak Aspirasi dan Proksi-proksi mereka, tidak kurang juga persiapan yang dibuat oleh Mahasiswa-Mahasiswa Tulen UKM. Justeru, bersempena dengan "semangat" Mahasiswa/i baru nanti, Politik-Kampus juga kembali ke alam bloggerz bagi menyemarakkan lagi alam informasi Mahasiswa.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, bulan pertama kemasukan Mahasiswa baru merupakan bulan yang paling sibuk dalam kalendar tahunan warga UKM. Bermula dengan sesi pendaftaran yang diikuti dengan Minggu Mesra Mahasiswa, MMP (kini digantikan Mahasiswa dengan Pelajar), seterusnya Minggu Pengenalan Persatuan Mahasiswa, M3P (juga digantikan Mahasiswa dengan Pelajar). Sengaja dimulakan Artikel kali ini dengan perubahan istilah kerana ia merupakan cerminan utama pembawaan pihak Hal Ehwal Mahasiswa, HEP(Sama seperti di atas) terhadap perjalanan Bulan Pertama Mahasiswa Baru.

Sedaya mungkin, sesetengah pihak ini cuba mengurangkan "kehebatan" gelaran Mahasiswa dan menggalakkan Mahasiswa supaya datang ke UKM untuk belajar semata-mata. Maka lahirlah ribuan pelajar "cemerlang", mengikut tafsiran kamus terbitan Aspirasi dan (ibu-bapa mereka) HEP. Sedangkan, dalam suasana masyarakat dan dunia yang kritikal ketika ini, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sangat-sangat diharapkan agar dapat melahirkan cendekiawan yang mampu menyelesaikan masalah umat.

Mutakhir ini, Mahasiswa bukan sahaja gagal mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, malah mereka menjadi kelompok paling popular dalam senarai penyumbang masalah terbesar negara.

Pemimpin-pemimpin lebih ramai yang menjerit di atas keperitan rakyat. Lebih ramai yang berbahas mengenai rakyat yang tertindas. Namun, ramainya mereka hanyalah ramai keramaian yang membazir dan mensia-siakan.

Mahasiswa perlu bangkit, tidak hanya menyalak di dalam kelompok sendiri, sebaliknya turun dan terjun ke dalam masyarakat. Jika kita singkap peranan Mahasiswa era 70-an, mereka bukan sekadar menjerit apabila mereka dicubit, bahkan merekalah yang menjadi corong-corong pembesar suara rakyat. Mereka bangun di atas kesakitan rakyat, dari rakyat mereka datang kepada rakyat mereka kembalikan.

Pesanan untuk teman-teman Mahasiswa, ayuh kita Gerakkan Kuasa Mahasiswa!!!

Monday, May 4, 2009

Membongkar untuk menyegarkan ingatan...

Demam peperiksaan di UKM sudah hampir kebah. Kepanasan suasana hangat peperiksaan kian mereda dan kampus UKM akan kembali lengang buat seketika. Warga kampus sedikit demi sedikit akan meninggalkan perkarangan Kampus untuk berehat seketika mahupun menjalani aktiviti sem pendek di kampus.

Ramai yang tidak sedar akan bahaya dan bencana yang akan berlaku dan melanda UKM sekembalinya warga kampus ke UKM awal Julai nanti. Rentetan isu yang berlaku di dalam UKM akan terus menimbulkan suasana yang genting dan getir.




Penginapan di Kolej kediaman merupakan isu asas yang pertama. Turut berkait rapat dengan isu penginapan kolej ini adalah isu kenaikan yuran, JAKSA dan corak pengurusan pentadbiran kolej.

Mengekori rapat di belakang isu kolej kediaman, ialah isu Kompetensi Generik. Genap satu tahun bersamaan 2 sem, kompetensi generik ini diperkenalkan. Sejauh mana sistem ini memberikan faedah dan kemudahan kepada pelajar?

Isu yang ketiga, sering dianggap isu bermusim, iaitu Pilihanraya Kampus. Sistem E-Undi akan diperkenalkan dalam pilihanraya kampus akan datang. Sejauh mana ketelusan sistem ini? Adakah ianya dapat memadamkan segala salah laku dan penyelewengan pihak SPR UKM, atau lebih dikenali dengan Urusetia Pemilihan MPP?

Isu keselamatan dan kebajikan juga masih berlarutan ke hari ini. Lubang-lubang di jalanan, tanah runtuh serta pelbagai isu keselamatan harta, jiwa dan kehormatan semakin berlarutan dan meningkat statistiknya dari hari ke hari.

Lama-kelamaan, isu di atas sudah pasti akan terbongkar dan disedari oleh warga kampus. Satu demi satu kesilapan dan kejahatan pihak-pihak tertentu akan dipertontonkan. Pesanan kami kepada pihak-pihak yang terlibat, bertaubatlah sebelum terlewat.

Sesungguhnya "pertolongan" Allah itu sangat dekat.

Himpunan Hitam 7 Mei, Perak.

Krisis perlembagaan yang berlaku di Perak telah sampai ke kemuncaknya. Kerajaan yang sebelum ini dilihat gagal memahami dan menyelesaikan krisis yang berlaku di Perak, perlu berbuat sesuatu agar kesilapan mereka tidak terus menjadi bualan dan pertikaian rakyat.

Hanya ada satu jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di Perak, iaitu pembubaran DUN. Rakyat perlu diberi penghormatan untuk mengadili pemimpin mereka sendiri. Keputusan rakyat merupakan keputusan yang paling luhur dan suci yang perlu dihormati oleh parti pembangkang mahupun parti yang memerintah.

7 Mei, akan kembali mengingatkan rakyat mengenai apa yang berlaku di Perak. Polis, mahkamah, media massa, SU Kerajaan Negeri, SPRM dan pelbagai institusi serta badan-badan tertentu telah dipergunakan untuk menyelesaikan krisis ini. Turut tercemar, kedaulatan institusi DiRaja. Kesemua media dan medium dikerahkan secukupnya untuk mengaburi mata dan pengetahuan rakyat.

Kerajaan perlu menginsafi tindakan mereka dan kembali ke jalan yang benar dengan membubarkan DUN untuk memberi ruang kepada rakyat untuk memilih atas nama demokrasi. Sokongan rakyat telah dipertontonkan dalam pilihanraya kecil sebelum ini, dan sudah pastinya akan terus diperlihatkan pada 7 Mei nanti.

maklumat lanjut:-
harakahdaily
Anwaribrahim
misbahulmunir

Wednesday, April 22, 2009

Isu Buang dan Pindah Kolej: Meritokrasi atau kronisasi?


En. Zulkafli Amat
Ketua Unit Perumahan Pelajar
Sistem penginapan bagi pelajar UKM diuruskan oleh Unit Perumahan Pelajar(UPP) di bawah Jabatan Perkhidmatan Pelajar(JPPel), Bahagian hal Ehwal Pelajar (HEP), UKM. Antara fungsi utama UPP ini adalah menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan konduksif untuk mahasiswa di dalam dan di luar kampus dan berfungsi sebagai badan pentadbiran/penyelarasan penempatan pelajar di kolej-kolej kediaman termasuk penyediaan infrastruktur dan pendidikan dalam konteks pengembangan serta pembangunan diri pelajar di kolej. UPP pula menjadi unit yang bertanggungjawab menjadi penghubung dan penyelenggara antara semua kolej kediaman.


Mutakhir ini, pelbagai laporan mengenai penempatan kolej di kampus induk Bangi dibuat oleh pelajar-pelajar UKM. Laporan ini dibuat berikutan tindakan bahagian pengurusan kolej memindahkan atau membuang sebahagian pelajar yang menghuni di kolej tersebut. Antara kolej yang dilihat begitu popular dalam isu buang kolej ini adalah Kolej Burhanuddin Helmi, Kolej Ungku Omar, Kolej Ibrahim Yaakub, Kolej Aminuddin Baki, dan Kolej Rahim Kajai.


Beberapa orang pelajar yang turut dibuang/dipindahkan kolej telah menemui pimpinan IPU bagi meluahkan kekesalan mereka berkenaan isu ini. Malah, ada segelintir di kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai penyokong aspirasi, turut dibuang daripada kolej yang mereka huni ketika ini. Ada pelajar yang dibuang(Tidak berjaya ditempatkan di mana-mana kolej), dan ada pula yang sekadar dipindahkan iaitu ditukarkan ke kolej selain daripada kolej asal, Kolej Pembuangan yang popular pula ialah Kolej Pendeta Za'aba dan Kolej Idris Al-Marbawi.


Walaupun penambahbaikan sistem telah dilakukan dari semester ke semester, bermula dari sistem merit kad aktif kolej sehinggalah merit melalui online, namun kecanggihan sistem ini dilihat gagal menangani isu penempatan kolej di kalangan pelajar UKM. Dua(2) faktor utama berlakunya krisis ini adalah:

1. Sistem penandaan markah/merit yang tidak meliputi keseluruhan aktiviti pelajar.

a. Tidak semua persatuan diberikan merit kolej. Antara persatuan yang dianak-tirikan ialah ISIUKM dan Persatuan anak Negeri.

b. Tidak memberikan kredit yang sepatutnya terhadap penglibatan pelajar di Fakulti atau di persatuan-persatuan selain di kolej.

c. Penilaian lebih bertumpu kepada penglibatan di kolej menyebabkan pelajar-pelajar yang mewakili UKM dalam pertandingan Nasyid dan sebagainya tidak diberikan hak untuk mendapatkan merit di kolej.

2. Penguatkuasaan sistem merit.

a. ada pelajar-pelajar aktif sehingga mendapat merit sebanyak 30 di peringkat kolej, fakulti mahupun universiti yang tidak mendapat tempat.

b. Ada pelajar-pelajar yang langsung tidak terlibat dengan sebarang aktiviti di sebarang peringkat mendapat penginapan di kolej sepanjang tempoh pengajian.

c. Pengetua, Pengurus kolej, dan pegawai-pegawai pentadbir kolej diberikan kelonggaran untuk membuat pemilihan sendiri berhubung dengan penempatan pelajar di kolej.

Sehubungan itu, tindakan segera perlu di ambil oleh pihak berkaitan supaya insiden ini tidak melarat dan mencetuskan kontorversi di kalangan pelajar. Pemerkasaan sistem perlu selari dengan penguatkuasaan yang adil telus dan berkebajikan.

Sebagai pelanggan, Mahasiswa UKM berhak untuk mendapatkan penjelasan mengenai sebarang perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan hak Mahasiswa perlu dijaga dan diutamakan. Ini selaras dengan misi kepimpinan Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Seri Najib Altantuya, Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.


Tuesday, April 21, 2009

Politik Islam

Khalifah dalam pengertian linguistik merupakan wakil pemimpin. Manakala berdasarkan takrifan istilah merujuk kepada wakil yang diamanahkan oleh Allah untuk mentadbir urusan di bumi, melalui Penegakan Islam sebagai Ad-Deen, dan mentadbir segala urusan dengan Islam.

Berdasarkan istilah manusia, ataupun human oleh barat, manusia disebut sebagai "crowning creature" yang memiliki pelbagai keistimewaan. Keistimewaan yang paling utama ialah kemampuan menggunakan otak untuk berfikir yang membolehkan manusia membuat pilihan dalam kehidupan seharian.

Sebab itu, istilah khalifah dengan manusia sangat berkait rapat dalam menentukan corak ketamadunan hidup sesebuah bangsa. Jika difahami dengan teliti, keupayaan manusia untuk berfikir dan memilih berbanding benda hidup atau benda bukan hidup yang ada di dunia ini merupakan alasan yang sangat kukuh kenapa manusia yang seharusnya memikul tanggungjawab memakmurkan bumi ini.

Manusia telah dipilih oleh Tuhan untuk menguruskan segala hidupan dan sumber alam yang telah dicipta oleh Tuhan. Tuhan telah melengkapkan ciri-ciri "pengurus dunia" terhadap manusia dan Tuhan juga telah menentukan segala perkara yang berlaku di atas muka bumi ini pada kadar dan ukurannya (sunnatuLlah) untuk memudahkan urusan manusia.

Tiada lembu yang dapat memakan makanan selain rumput dan daun, tiada pula kucing yang dapat memakan selain daging dan ikan, juga tiada bintang yang akan berhenti daripada menyinar, tiada planet yang berhenti berputar, tiada sungai yang tidak mengalir, tiada pantai yang tidak berombak. Semuanya ketentuan Tuhan untuk membantu urusan hidup manusia.

"Dialah (Allah) yang telah menjadikan Matahari sebagai pelita, dan bulan bercahaya, dan menetapkan tempat-tempat peredaran (bulan dan matahari) untuk kamu(manusia) bilangan tahun dan kiraan masa. Tidaklah Allah menjadikan yang demikian kecuali dengan haq(kebenaran). Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada kaum yang mahu berilmu" Al-Quran.

Urusan politk dalam Islam sangat bersangkutan dengan keterangan di atas. Manusia perlu kembali kepada hakikat penciptaan, meyakini Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rabb kepada sekalian alam, serta kembali kepada seruan untuk beramal dan bekerja berpandukan manual yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril. Juga menjadikan model kehidupan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang wajib untuk diikut.

Menerusi pemikiran seperti ini, akan lahirlah politikus yang berfikir dengan corak dan gaya pemikiran Islam. Bukan politik kepartian, bukan juga politik perkauman, bukan politik inidividu, apalagi politik wang. Memahami tuntutan berpolitik untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Berpolitik untuk mentadbir urusan ciptaan berdasarkan acuan Penciptanya. Sentiasa meletakkan Islam dan Kalimah Allah yang Maha Tinggi di tempat yang paling tinggi dalam setiap urusan politk dan kehidupan sehariannya.

"Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu"; Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui; Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi; Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (YaaSiin, 36: 79-83)

Monday, March 30, 2009

5 kegagalan UMNO dan BN sebelum ini, Mohd Najib Bin Abd Razak???

Bencana yang paling besar akhirnya melanda Malaysia. Pembunuh telah dilantik menjadi Presiden, dan berkemungkinan akan dilantik menjadi orang No1, di Malaysia. Individu yang telah disiasat oleh lembaga disiplin dan didapati bersalah, dilantik menjadi Ketua Pemuda. Senario di dalam parti komponen juga tidak kurang hebatnya, jika sebelum ini, Individu yang mempunyai rekod dan rakaman lucah dilantik menjadi Timbalan Presiden.

Khabar telah tersebar dengan pantas bahawa selepas 3 April ini Malaysia akan menerima Barisan Kabinet Jemaah Menteri yang baru. Pelbagai bentuk dan individu menjadi sasaran untuk diangkat menjadi menteri. Sudah tentu, Najib akan mempunyai strategi dan ramuan yang tersendiri untuk memimpin Malaysia. Walau siapapun yang akan dipilih, ini adalah nasihat siasah_ipu, dan siasah_ipu yakin nasihat ini adalah nasihat dan permintaan seluruh rakyat Malaysia.

Laksanakan 5 tanggungjawab asasi,

dan tunaikan 5 hak asasi rakyat.

Menurut Islam, soal pentadbiran dan jawatan di kalangan manusia tidak pernah mengiktiraf istilah kuasa. Sebab kuasa itu hanya dimiliki dan hak mutlak Pencipta Seluruh Alam, Allah ‘Azzawa Jalla. Sebaliknya, di dalam Islam, kalimah yang sesuai adalah amanah dan tanggungjawab. Apabila manusia menyangka mereka mempunyai kuasa, kelak mereka akan menyalahgunakan kuasa dan lupa daratan. Selanjutnya lahir pula golongan yang gilakan kuasa kerana ingin mengarah dan memerintah manusia yang lain. Rasuah, ugutan, paksaan dan strategi politik yang kotor akan mereka gunakan untuk mengekalkan kuasa.

Baru-baru ini, semasa pemilihan dalaman parti, duit ditabur, jawatankuasa disiplin dipergunakan, media dikawal, dan macam-macam lagi dilakukan kerana ingin mengejar pangkat yang diyakini akan memberikan mereka kuasa dan ruang yang lebih untuk memerintah.

Sebaliknya, jika kepimpinan yang dianjurkan oleh Islam, proses pemilihan, perlantikan, dan perlaksanaan kepimpinan akan dilakukan menurut proses yang mengutamakan amanah dan tanggungjawab. Manakala pemimpin yang akan dipilih, ialah pemimpin yang mempunyai kekuatan dan beramanah, Al-Quwwah Wal-Amanah.

Apabila manusia menyangka mereka mempunyai kuasa, kelak mereka akan menyalahgunakan kuasa dan lupa daratan. Selanjutnya lahir pula golongan yang gilakan kuasa kerana ingin mengarah dan memerintah manusia yang lain menurut hawa nafsunya. Rasuah, ugutan, paksaan dan strategi politik yang kotor akan mereka gunakan untuk mengekalkan kuasa.

Manusia mempunyai 5 keperluan yang asas. Jika disusun mengikut keutamaan, 5 perkara tersebut adalah seperti berikut:-

1. Agama dan kepercayaan.

2. Nyawa dan keselamatan.

3. Keturunan dan maruah.

4. ‘Aqal dan pemikiran.

5. Harta benda dan kekayaan.

Agama Dan kepercayaan

Dari segi agama, rakyat perlukan pemimpin yang dapat memberikan perlindungan dan kebebasan untuk beragama. Pemimpin yang memegang amanah perlu mengutamakan perkara ini kerana tiada agama yang menganjurkan rasuah, perjudian, percampuran bebas, penindasan, kezaliman, berat sebelah dan sebagainya. Maka sekiranya Pemimpin itu dapat membawa rakyatnya kembali berpegang teguh kepada agama, maka akan lahir satu pembangunan tamadun yang sangat maju dan berjaya.

Nyawa dan keselamatan

Kejadian bunuh dan kejadian-kejadian yang menjejaskan keselamatan sebenarnya adalah berpunca daripada pemimpin yang tidak menjalankan amanah dan tidak bertanggungjawab. Sekalipun nyawa itu adalah nyawa seorang bayi, pemimpin bertanggungjawab menjaga dan memlihara. Apalagi kalau nyawa seorang wanita warga asing. Sebab itu Islam memperkenalkan hukuman hudud dan Qisas sebagai langkah membendung kejadian bunuh dan sebagainya.

Keturunan dan Maruah

Saban hari, kejadian rogol dan sumbang mahram dilaporkan oleh media. Jumlah kejadian menunjukkan angka yang semakin meningkat. Selagi, pemimpin memikul tanggungjawab penuh. Allah menyebut, “Jangan Hampiri Zina”, sebagai amaran bahawa manusia perlu menjaga maruah diri dan orang lain.

‘Aqal dan pemikiran

Perlindungan ‘Aqal pula meliputi proses menjaga fizikal dan mental ‘Aqal seseorang. Pemimpin perlu sentiasa peka mengenai pembangunan pemikiran rakyatnya supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa dapat berfikir dengan waras. Pengharaman Arak adalah salah satu langkah yang diperkenalkan Islam, yang juga sepatutnya dilakukan oleh pemimpin.

Harta Benda dan Kekayaan

Nabi Yusuf, pernah menasihati pemimpin Negara Mesir pada suatu ketika dulu untuk membuat persiapan menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada bencana alam. Nabi Yusuf menyarankan agar Kerajaan menumpukan kepada pengumpulan dan penyimpanan stok-stok barangan keperluan asas seperti gandum dan sebagainya. Krisis ekonomi yang melanda dunia ini sebenarnya telah diramal beberapa tahun sebelum ini, maka kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab akan memikirkan langkah terbaik untuk memastikan survival rakyatnya.


Walaupun UMNO dan Barisan Nasional telah terbukti gagal mempertahankan kellima-lima hak asasi ini, namun siasah_ipu ingin menasihatkan kepada Najib, bahawa jika beliau gagal membawa perkara ini, maka tamatlah riwayat UMNO dan BN dalam PRU ke-13 nanti

Thursday, March 12, 2009

BENCANA PELING TERUK MALAYSIA, Mac 2009

Khamis, Bangi- Pakar Meteorologi Negara, Prof Dato' Dr Student's Power melaporkan, satu bencana alam paling buruk dalam sejarah ketamadunan manusia akan melanda Negara Malaysia tidak lama lagi. Beliau mengulas kenyataan tersebut dengan memberitahu kepada pembaca-pembaca blog bahawa bencana itu adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang berlaku di dalam Negara yang melibatkan pelbagai tempat dan lapisan masyarakat.

Kejadian yang bakal berlaku di dalam bulan Mac itu, menurutnya, adalah bencana Gempa Hati, Taufan Pemikiran, kebanjiran jenayah, dan keruntuhan akhlak. Tanda-tanda awal bencana tersebut dilaporkan sudah begitu ketara berlaku malah melibatkan kawasan-kawasan strategik seperti di Parlimen, di Kaca mata televisyen, di rumah-rumah kediaman, dan juga di tempat-tempat awam. Tiga institusi utama negara iaitu kehakiman, eksekutif dan pentadbiran, serta institusi diraja telah pun mengalami tanda-tanda awal bencana ini.

Menurut beliau lagi, kawasan-kawasan yang sepatutnya dianggap selamat seperti sekolah, IPT, dan juga mahkamah juga turut sedikit terjejas dan mengalami tanda-tanda kecil bencana tersebut.

Antara kes yang paling popular dilaporkan oleh media ialah, pelaku seks bebas, Dr Chua Soi Lek, diterima masyarakat untuk menjadi pemimpin. Hakim dilantik dikalangan perasuah. Kejadian ini akan disusuli dengan perlantikan Pembunuh paling Kejam sebagai pemimpin no 1 negara, Najib Altantuya.

Sebelum ini, Prof Dato' Dr Student's Power juga menyebut bahawa mulut-mulut mereka yang menyatakan kebenaran akan ditutup dan di gam. Ustaz-ustaz sudah tidak lagi diberikan kepercayaan untuk memberikan nasihat malah dinasihati untuk tidak menasihati orang lain.

Apabila berlaku krisis ekonomi, rakyat akan disuruh berjimat supaya pemimpin dapat mengekalkan kemewahan dan kekayaan mereka. Dilarang menimbulkan kontroversi seperti demonstrasi melainkan untuk memberi kredit kepada pemimpin kerajaan.

Bahasa Ibunda sudah tidak lagi relevan untuk memperkembangkan ilmu di kalangan anak bangsa. Sebaliknya bahasa penjajah yang pernah meratah dan memperkosa tanah air dan maruah bangsa dipilih menggantikan Bahasa Ibunda.

Berlaku beberapa siri keretakan hubungan antara agama dan kehidupan apabila masyarakat sudah mula mempertikaikan hubungan antara politik dan kehidupan. Isu agama dianggap sensitif dan tidak boleh dibincangkan. Isu kematian tidak boleh dijadikan pengajaran kerana bimbang akan menakutkan dan menimbulkan suasana yang tidak sihat. Justeru, artis-artis yang terdedah merupakan guru dan model terbaik untuk dipaparkan dan cerita-cerita karut pula adalah pilihan utama untuk ditayangkan kepada masyarakat umum.

Prof Dato' Dr Student's Power mengulas bahawa tanda-tanda awal bencana sudah terlalu banyak berlaku dan masih banyak lagi yang belum dilaporkan oleh media. Beliau turut menyifatkan bahawa bencana ini akan berlaku dan tidak akan berakhir untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, masyarakat diminta bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan kejadian yang tidak diingini.

Antara perkara yang mampu dilakukan oleh masyarakat pada ketika ini untuk menyelamatkan keadaan ialah sentiasa peka dengan isu-isu semasa melalui sumber-sumber yang pelbagai; memperbanyakkan aktiviti pertahanan iman seperti puasa, solat jemaah, dan menghadiri majlis-majlis agama; dan yang paling mustahak MEMASTIKAN NAJIB AL-TANTUYA TIDAK MENJADI PM untuk mengelakkan bencana yang lebih teruk berlaku.