Showing posts with label Siasah Islam. Show all posts
Showing posts with label Siasah Islam. Show all posts

Wednesday, July 15, 2009

Slogan Politik GM, "Bersatu Berubah"

Mahasiswa perlu menjadi elemen Periksa dan Imbang di dalam negara. Kedudukan Mahasiswa yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan boleh dianggap sebagai neutral dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Walaupun Mahasiswa bebas untuk berideologi, namun Mahasiswa masih dianggap sebagai golongan yang mempunyai suara keramat.

Berpolitik sebenarnya bukanlah karier sebenar Mahasiswa. Bahkan saya yakin, politik juga tidak layak menjadi karier sesiapapun yang mendakwa mereka pejuang agama Allah. Sebaliknya politik hanyalah sebagai wasilah untuk berdakwah. Menyampaikan mesej Islam, dan mentadbir urusan dunia ini melalui perlembagaan Tuhan yang diutuskan kepada manusia melalui penyampai yang paling mulia di kalangan manusia.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, seseorang itu perlu terlebih dahulu memahami apakah sebenarnya tuntutan dan natijah yang diharapkan daripada politik itu sendiri. Seperti penjelasan di atas, tuntutan utama politik ialah melaksanakan amanah wakil pemerintahan Tuhan di dunia, Khalifah, iaitu menegakkan Ad-Deen dan mentadbir bumi ini dengan Ad-Deen.

Ad-Deen merujuk kepada cara hidup yang sempurna, sejahtera, dan selamat dari segala bentuk kekacauan dan kerosakan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Bagi mereka yang memahami kedudukan Islam sebagai Ad-Deen, sudah pasti mereka juga akan merasai keindahan dan kesempurnaan ajaran yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Politik diperlukan supaya mesej penerangan cara hidup anjuran Islam ini dapat difahami dan diamalkan oleh semua manusia. Sesuai dengan firmanNya, "Tidaklah Kami mengutuskan kamu(wahai Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat sekalian alam"

Sebenarnya, nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam ini terlalu banyak dan anda tidak akan dapat memahami nilai ini jika Orang Islam yang dijadikan ABM (Alat Bantuan Mengajar). Ada juga, bahkan ramai orang bukan Islam yang lebih "Islam" cara hidupnya berbanding orang Islam sendiri. Walaupun mereka tetap dipanggil orang bukan Islam kerana pegangan Aqidah mereka, namun cara hidup mereka sebenarnya jauh lebih baik dari segelintir umat Islam yang ada.

Mahasiswa perlu menyedari hakikat ini. Perubahan yang ingin dilakukan bukanlah mengubah seluruh struktur hidup yang ada dalam masyarakat. Kita tidak perlu merombak semuanya, kerana mungkin ada nilai-nilai Islam di situ. Jika dilihat secara dasarnya juga, Islam telah menjadi teras di UKM. Apabila keimanan, ilmu dan amal dijadikan teras, maka akan lahirlah generasi berilmu dan terpelajar yang akan membangunkan universiti.

Malangnya, dasar yang baik ini dilihat gagal diamalkan dengan baik. Perlaksanaan yang lemah dan perlu kepada perubahan kecil terhadapnya. Semua pihak bertanggungjawab untuk menjayakan perubahan ini.


"Politic is the art of soluble"

Tuesday, April 21, 2009

Politik Islam

Khalifah dalam pengertian linguistik merupakan wakil pemimpin. Manakala berdasarkan takrifan istilah merujuk kepada wakil yang diamanahkan oleh Allah untuk mentadbir urusan di bumi, melalui Penegakan Islam sebagai Ad-Deen, dan mentadbir segala urusan dengan Islam.

Berdasarkan istilah manusia, ataupun human oleh barat, manusia disebut sebagai "crowning creature" yang memiliki pelbagai keistimewaan. Keistimewaan yang paling utama ialah kemampuan menggunakan otak untuk berfikir yang membolehkan manusia membuat pilihan dalam kehidupan seharian.

Sebab itu, istilah khalifah dengan manusia sangat berkait rapat dalam menentukan corak ketamadunan hidup sesebuah bangsa. Jika difahami dengan teliti, keupayaan manusia untuk berfikir dan memilih berbanding benda hidup atau benda bukan hidup yang ada di dunia ini merupakan alasan yang sangat kukuh kenapa manusia yang seharusnya memikul tanggungjawab memakmurkan bumi ini.

Manusia telah dipilih oleh Tuhan untuk menguruskan segala hidupan dan sumber alam yang telah dicipta oleh Tuhan. Tuhan telah melengkapkan ciri-ciri "pengurus dunia" terhadap manusia dan Tuhan juga telah menentukan segala perkara yang berlaku di atas muka bumi ini pada kadar dan ukurannya (sunnatuLlah) untuk memudahkan urusan manusia.

Tiada lembu yang dapat memakan makanan selain rumput dan daun, tiada pula kucing yang dapat memakan selain daging dan ikan, juga tiada bintang yang akan berhenti daripada menyinar, tiada planet yang berhenti berputar, tiada sungai yang tidak mengalir, tiada pantai yang tidak berombak. Semuanya ketentuan Tuhan untuk membantu urusan hidup manusia.

"Dialah (Allah) yang telah menjadikan Matahari sebagai pelita, dan bulan bercahaya, dan menetapkan tempat-tempat peredaran (bulan dan matahari) untuk kamu(manusia) bilangan tahun dan kiraan masa. Tidaklah Allah menjadikan yang demikian kecuali dengan haq(kebenaran). Dia menjelaskan ayat-ayatNya kepada kaum yang mahu berilmu" Al-Quran.

Urusan politk dalam Islam sangat bersangkutan dengan keterangan di atas. Manusia perlu kembali kepada hakikat penciptaan, meyakini Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rabb kepada sekalian alam, serta kembali kepada seruan untuk beramal dan bekerja berpandukan manual yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril. Juga menjadikan model kehidupan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang wajib untuk diikut.

Menerusi pemikiran seperti ini, akan lahirlah politikus yang berfikir dengan corak dan gaya pemikiran Islam. Bukan politik kepartian, bukan juga politik perkauman, bukan politik inidividu, apalagi politik wang. Memahami tuntutan berpolitik untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Berpolitik untuk mentadbir urusan ciptaan berdasarkan acuan Penciptanya. Sentiasa meletakkan Islam dan Kalimah Allah yang Maha Tinggi di tempat yang paling tinggi dalam setiap urusan politk dan kehidupan sehariannya.

"Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya); "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu"; Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui; Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi; Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (YaaSiin, 36: 79-83)