Wednesday, March 30, 2011

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah,segala puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Berikut merupakan kenyataan rasmi Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia berkenaan kerosakan sistem politik di Malaysia kini.

**********************************************************

Episod Seks di Malaysia Tidak Akan Berkesudahan?

Pendekatan politik negara kita kebelakangan ini bukan lagi berkisar soal ‘ideologi melawan ideologi’ (Model Ekonomi Baru atau Nasionalis melawan Agenda Ekonomi Malaysia, Buku Jingga atau Islamis/Demokratik/Liberalis), tetapi ‘pembunuhan watak’ musuh politik.

1- Masanya untuk mengaplikasikan undang-undang sebenar Islam iaitu Qazaf supaya kedua-dua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya.

2- (Perundangan Sivil) - Tindakan Datuk T menayangkan video lucah kepada orang awam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali (rujuk nota kaki sebelum ini di http://www.facebook.com/photo.php?fbid=1609542167560&set=a.1052208874576.2008535.1506397079&theater)

(Perundangan Syariah) - Datuk T juga boleh didakwa di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) yang menyebut;

Seksyen 41. Qazaf

kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

*Kesalahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah pun tidak ‘Islamik’? Hmm~

(Pandangan Islam) Qazaf merupakan salah satu daripada tujuh (7) kesalahan hudud iaitu menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh . Kesalahan di bawah jenayah Qazaf ialah ;

a) Sebatan sebanyak 80 kali sebatan (Surah An-Nur, ayat 4) mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.

b) Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya (Surah An-Nur, ayat 4) dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.

3- Ada 2 kemungkinan. Satu, jika video lucah itu betul, maka Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dijatuhkan hukuman. Manakala, jika video lucah itu palsu, maka Datuk T sepatutnya perlu didakwa di bawah kesalahan Qazaf.

4- Tidak ada kemungkinan ketiga.

5- Jika Datuk Seri Anwar dibuktikan bersalah dan terbabit, maka apakah hukumannya?

6- (Perundangan Sivil) - Bukan menjadi satu kesalahan mengadakan hubungan seks suka sama suka di bawah Kanun Keseksaan bagi mereka yang sudah mencapai umur majoriti, 18 tahun dan ke atas.

(Perundangan Syariah) - Menurut Seksyen 23(1) sebagaimana Akta Kesalahan Jenayah Syariah di atas, Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(Pandangan Islam) - Kesalahan sebegini jatuh di bawah hukuman zina. Memandangkan Datuk Seri Anwar sudah berkahwin (muhsan), maka hukuman bagi beliau sepatutnya ialah rejam sampai mati (Menurut 'Ubbadah Ibn al-Somit R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Kamu semua hendaklah mengambil (hukuman zina) daripadaku. Sesungguhnya Allah telah menunjukkan jalan penyelesaiannya. Penzina yang telah berkahwin hendaklah dirotan sebanyak 100 kali dan direjam hingga mati. Penzina yang belum kahwin hendaklah dirotan sebanyak 100 kali dan dibuang daerah." - Hadis sahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah. Al-Tirmizi mengklasifikasikan hadis ini sebagai hasan sahih.)

7- Zalim ke rejam sampai mati? Tidak, selain ia disyariatkan sebagaimana yang telah disebutkan diatas, mendengar hukumannya pun kita sudah berasa takut dan gentar. Laws should not be seen as to ‘cure’ crime and criminal per se, but to ‘prevent’ crime and criminal as well.

8- Jika video seks itu dibuktikan palsu, maka apakah hukumannya kepada pengadu?

(Perundangan Sivil) Menurut Seksyen 292 sebagaimana di atas, “…boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”.

(Perundangan Syariah) Menurut Seksyen 41 sebagaimana di atas, “…boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi RM 5,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali”.

(Pandangan Islam) Menurut Surah An-Nur, ayat 4 sebagaimana di atas “…sebatan sebanyak 80 kali sebatan dan tidak diterima penyaksiannya”

9- Untuk memastikan bahawa keadilan tertegak bagi kedua-dua pihak dan juga membetulkan persepsi masyarakat di dalam kes ini, maka undang-undang jenayah Qazaf ialah set undang-undang yang terbaik untuk diaplikasikan.

10- Hari ini, tidak perlu lagi membeli URTV, Mangga, HI dan sebagainya untuk membaca bahan-bahan lucah.

11- Selamatkan Malaysia daripada orang yang suka berita seks!


Zaki Sukery

Timbalan Presiden

Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS)

Sunday, March 20, 2011

Ucapan takziah di atas kemangkatan Bonda Yang Di-Pertuan Agong

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah,segala puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Mereka yang jika bencana musibah menimpa mereka, mereka berkata: "Kepada Allahlah kita datang , dan kepadaNya jualah kita kembali."

( al-Baqarah:156 )

Mati dan ajal merupakan suatu ketetapan dari Allah SWT.Oleh itu ia merupakan pengakhiran yang baik bagi mereka yang berfikir lantas bertindak dan pengakhiran yang buruk bagi mereka yang mensia-siakan peringatan tersebut.

Kami bagi pihak MAMPU mengucapkan setinggi takziah di atas kemangkatan bonda kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada awal pagi tadi. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan yang dimuliakan Allah. Al-Fatihah..

****************************************************

Bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah mangkat di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada pukul 1.22 pagi ini.


Kemangkatan baginda, 78, diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki turut memaklumkan bahawa jenazah almarhum akan dibawa pulang ke Kuala Terengganu melalui Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Jenazah almarhum berlepas dari pengkalan itu kira-kira 10.45 pagi ini menggunakan pesawat C130 TUDM.

Mengiringi jenazah ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang berlepas dari pengkalan itu dengan pesawat khas.

Antara yang turut berada di Pengkalan TUDM ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Jenazah akan dibawa ke Istana Maziah, Kuala Terengganu untuk penghormatan terakhir dan urusan pengebumian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu hari ini, rakyat jelata diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir bermula pukul 1 petang sehingga 2.30 petang.

Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang petang ini.

Almarhum Tengku Bahriya yang diputerakan pada 31 Ogos 1933 di Klang Selangor berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud yang pada masa itu bergelar Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda pada 22 Mac 1952 di Kuala Lumpur.

Almarhum selepas itu dikurnia gelaran Tengku Puan Muda oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 7 April 1954 dan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 20 September 1979.

- Bernama

Friday, March 18, 2011

Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah,segala puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Tahun 2011 menjadi pautan sejarah buat seluruh penyokong dan pendukung MAMPU,apabila mahasiswa UKM memberi mandat dan amanah kepada kita semua untuk menerajui tampuk pemerintahan PMUKM pada kali ini.

Allah berfirman :

"Sesungguhnya Tuhan menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Tuhan sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Surah An-Nisa' : 58

Justeru,apabila diberikan amanah sedemikian ini, kita wajar mengisi kemenangan ini dengan baik,mudah-mudahan tanggungjawab kita sebagai ahli MAMPU akan mengepalai seluruh mahasiswa Islam di perbukitan ilmu ini dalam melestarikan kefahaman Islam yang syumul kepada seluruh mahasiswa termasuklah yang bukan Islam.

MAMPU sebagai antara front GMUKM megucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan MPMUKM yang baru dilantik,moga-moga kalian semua menjadi harapan kepada mahasiswa dalam mengetengahkan agenda-agenda penting kepada peringkat yang seterusnya.

Barisan kabinet MPMUKM yang baru boleh dilihat di alamat ini :



"Membina Mahasiswa Penggerak Ummah"

Menyanggah Kenyataan, Menjawab Persoalan : Siri 1

Salam Ikhlas Penyeri Ukhuwwah.

Alhamdulillah, puji-pujian hanyalah bagi Allah SWT.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,kerna menjadi ikutan dan contoh tauladan selamanya kepada seluruh ummah manusia.

Tahniah diucapkan kepada Presiden Persatuan Mahasiswa UKM yang baru, Saudara Ahmad Muzammil Bin Muhd Hairi di atas penyampaian ucapan dasar Presiden pada Majlis Penyampaian Watikah pada hari Selasa yang lalu. Kami amat mengharapkan semoga legasi kepimpinan PMUKM yang baru akan mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang berintergriti dan bertanggungjawab di atas amanah dan mandat yang telah diberikan oleh mahasiswa UKM.

Bagaimanapun merujuk analisis Saudara Kamal Ali berkenaan Ucapan Dasar Presiden baru-baru ini di dalam blog beliau, pihak MAMPU selaku front utama Gabungan Mahasiswa ingin membidas beberapa lontaran daripada beliau mengenai Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan pada Majlis Penyampaian Watikah PMUKM pada hari Selasa yang lepas.

Memetik kenyataan Saudara Kamal Ali,

1) "Dasar Presiden pada kali ini juga menyentuh mengenai permasalahan air yang telah diperjuangkan untuk sekian lamanya. Bagi saya, dasar presiden yang lepas juga telah menyuarakan permasalahan yang sama dan pihak pengurusan universiti telah mengambil perhatian dan tindakan susulan sedang dan akan dilaksanakan. Justeru saya merasakan bahawa dasar yang dikemukan ini adalah perbuatan sia-sia kerana banyak lagi isu atau masalah pelajar yang wajar diambil perhatian oleh kepimpinan baharu PMUKM.

*Kalau diteliti,aspek air ditekankan sama pentingnya dengan isu-isu utama yang lain misalnya isu keselamatan, isu yuran mahasiswa ,isu harga dan kualiti kafeteria, juga dalam isu kemudahan prasarana kepada mahasiswa itu sendiri. Justeru peringkat ini, masih ada isu lain yang dibangkitkan sama dalam usaha melestarikan agenda kebajikan itu sendiri.

* Juga diingatkan masalah air masih belum berjaya diselesaikan dalam kadar yang terbaik, justeru tidak ada masalah jika ia dibangkitkan sekali lagi untuk tanggungjawab dan kecaknaan bersama.

* Memang banyak isu dan masalah lain yang wajar diberi perhatian, namun apabila menyebut ianya sebagai isu asas dan teras kebajikan yang meliputi kepentingan segolongan besar mahasiswa, tidak boleh tidak isu ini masih lagi perlu diberikan perhatian yang sewajarnya berbanding isu-isu yang hanya melibatkan segelintir kecil mahasiswa.

2) "Konsep kebebasan akademik yang dibawakan hanya memberikan definisi atau makna perkataan-perkataan tertentu sahaja. Ulasan-ulasan yang diberikan hanya sekadar retorik yang masih samar dan tidak berpijak pada bumi yang nyata atau terlalu idealis. Tiada sebarang cadangan mengenai bagaimana kita hendak mencapai kebebasan akademik itu sendiri. Justeru saya melihat keadaan ini merupakan satu lagi kelemahan dalam Ucapan Dasar Presiden yang telah berlangsung tempoh hari yang wajar ditangani secara bijaksana."

*Kalau diteliti, pembawaan Ucapan Dasar Presiden secara konsepnya mendatangkan maksud dan definisi di peringkat awal, disusuli dengan idea dan pendekatan konsep ini sendiri seterusnya untuk diguna pakai. Misalnya : "Konsep kebebasan akademik ini seharusnya disebarluaskan ke seluruh peringkat masyarakat dengan diterjemahkan melalui pengaplikasian hasil kajian warga universiti dalam semua bidang kepada masyarakat.

* Ini bermaksud lapangan akademik yang ada di universiti ini harus dibuka sama kepada masyarakat luar dan tidak hanya menjurus kepada warga universiti sahaja.Perlu difahami, sumbangan dalam aspek akademik bukan hanya menjurus kepada aspek material bahkan dalam penambahbaikan dalam sistem nilai juga diberi perhatian.

Malahan,paksi ini juga turut diterangkan melalui ucapan dasar tersebut,iaitu "memasyarakatkan hasil penemuan yang bermanfaat untuk diimplementasikan kepada masyarakat. Juga ditekankan sama supaya pihak Universiti memberikan sepenuh ruang kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti dan mengembangkan kreativiti tanpa batasan-batasan tertentu.

3) Tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" yang mendukung PMUKM pada sesi ini yang mempunyai 4 paksi utama saya lihat sebagai satu tema yang samar dan penuh tanya. hal ini demikian kerana, perkara apakah yang ingin dicapai dan direlisasi andai dasar yang dibawa sudah dan akan dilaksanakan oleh pengurusan universiti.

*Apabila melihat kepada pernyataan Saudara Kamal Ali, kita melihat bahawa perlunya seseorang itu memahami sesuatu pernyataan sebelum mengeluarkan sesuatu pertikaian. Kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah menggambarkan ketiadaan fungsi golongan mahasiswa itu terhadap universiti. Inilah yang dimaksudkan mahasiswa menjadi golongan yang menjadi pak turut hinggakan tiada pendirian untuk membawa universiti itu ke tempat yang lebih baik.

Mahasiswa juga perlu menjadi entiti yang menentukan halatuju universiti itu sendiri.Dalam konteks ini, penekanan yang cuba dibawakan Presiden PMUKM ialah cuba mengembalikan fungsi sebenar universiti itu sendiri. Sebab itu konotasi "Realisasi Varsiti" lebih kepada memberi makna bagaimana kita mengoptimumkan fungsi varisiti itu sendiri.Bahkan,mahasiswa juga menjadi alat sokongan utama kepada pentadbiran universiti dalam memenuhi fungsi universiti itu sendiri.Fungsi sebuah universiti itu harusnya didasarkan kepada falsafah universiti UKM itu sendiri, iaitu penekanan elemen keimanan,keilmuan dan amal menjadi teras di sebalik penubuhan universiti ini sendiri.

4)"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" merupakan peribahasa yang digunakan dalam ucapan dasar presiden yang mahu mewujudkan masyarakat kampus yang mempunyai perpaduan dan nilai kebersamaan yang tinggi. Perkara ini juga telah disentuh dan dihujahkan dalam dasar presiden sesi lepas yang membawa dan menyokong gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan. Perkara ini menunjukkan tiada satu langkah atau cadangan konkrit yang dikemukakan sebaliknya hanya retorik yang tiada bermakna. PMUKM kali ini juga dilihat seperti tidak menerima gagasan 1 Malaysia yang dibawakan oleh kerajaan kerana tiada satupun seruan agar mahasiswa menggunakan dan menyemai budaya 1Bangsa 1 Malaysia.

*Kami tidak pasti adakah saudara Kamal Ali tidak menghayati sepenuhnya ucaspan dasar yang dibawakan Presiden sebelum melontarkan kritikan. Dalam paksi ini, Presiden mendatangkan beberapa objektif seperti usaha meningkatkan dan memupuk budaya malaysia berasaskan nilai moral dan kepelbagaian budaya yang diterima semua kaum. Adalah jelas pendekatan yang cuba dibawakan termasuklah menggiatkan dialog-dialog dan rundingan antara kaum bagi mengukuhkn persefahaman. Malahan, PMUKM juga berusaha mewujudkan jaminan peluang yang lebih banyak dan hak keadilan kepada mahasiswa dalam membangunkan diri serta masyarakat tanpa mengira batasan kaum dan perbezaan ideologi.

Untuk yang terakhirnya,kami mengucapkan tahniah kepada pihak saudara Kamal Ali kerana sudi merespon Ucapan Dasar Presiden pada sesi kali ini.Bagi MAMPU, kami sentiasa menyokong penuh budaya perbahasan dalam menyokong penuh usaha PMUKM pada sesi kali ini yang berusaha mewujudkan kedinamikan intelektual di samping aspek kebebasan akademik di universiti kita ini.

"Membina Mahasiswa Penggerak Ummah"

Monday, October 18, 2010

Mahasiswa Menggugat!!!!

Allahyarham Malek ben Nabi mengingatkan betapa masyarakat tanpa idealisma adalah masyarakat yang beku. Dengan menggunakan ungkapan idea pendorong (guiding ideas), beliau menyeru agar penggilapan idealisma ini segera dilakukan. Idealisma ini pula perlu didokong oleh sikap yang betul bagi merangkul kejayaan sepertimana yang pernah digagaskan oleh Lewis Fever sebagai, "the highest degree of selflessness, generosity, compassion and readiness for sacrifice." Ungkapan tersebut menggambarkan betapa pentingnya `senjata' dan `kuasa' pengorbanan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya `Nasr Jail al-Mansyud' bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa `izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana. Beliau juga di dalam kitabnya, `Kritikan dan Saranan untuk Para Da'ie' iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

Isu remaja aktif berpolitik atau lebih khusus kepada mahasiswa hangat diperkatakan oleh banyak pihak. Ramai yang berpendapat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bukan aktiviti berpolitik. Namun, ramai juga yang menyokong penglibatan pelajar IPTA tempatan dalam politik tanahair; suatu petanda positif ke arah menghasilkan barisan pelajar yang kritis dan prihatin. Kemampuan mereka menggegarkan dunia politik tanahair telah lama terbukti apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimaktubkan di dalam perlembagaan negara.

Perjuangan menentang kezaliman politik negara telah menjadi agenda utama kebangkitan "Anti-Establishment " di kalangan mahasiswa tempatan; satu fenomena yang telah mula menjadi norma masyarakat Malaysia semenjak tahun 70-an lagi. Antara isu lain yang turut didebatkan oleh golongan aktivis mahasiswa adalah kepincangan institusi mahkamah negara. Sistem keadilan negara hangat dikecam semasa skandal Anwar Ibrahim yang telah mencetuskan gerakan Reformasi dan akan kekal dalam sejarah sebagai salah sebuah milestone dunia politik tanahair.

Persoalannya, mampukah golongan mahasiswa tanahair hari ini bertindak cemerlang untuk memperbetulkan kesalahan keputusan pengadilan mahkamah negara?

Friday, October 15, 2010

Pelajar dizalimi: Anugerah dekan UKM4 digantung

Anugerah Dekan yang dimenangi oleh seorang daripada empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikatakan terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor April lalu, didakwa telah digantung sehingga perbicaraan mereka ke atas universiti berkenaan selesai.

Menurut mahasiswa tahun kedua, jurusan sains politik, Woon King Chai (bawah, pertama dari kiri), 22, beliau hanya dimaklumkan mengenai keputusan tersebut petang semalam.

"Saya berjumpa dengan penolong pendaftar fakulti saya dan berjumpa dengan seseorang yang dikenali sebagai Puan Norashikin dan katanya, pihak perundangan UKM menasihatkan mereka supaya menahan anugerah berkenaan sehingga perbicaraan selesai,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Woon, keputusan itu dibuat oleh fakulti berkenaan pada Ogos lalu, 'jadi adalah pelik bagi mereka untuk memberitahu saya sekarang. Saya juga tidak diberitahu secara rasmi.”

"Saya kecewa pihak fakulti dikuasai oleh keputusan pentadbiran yang tidak bersandarkan kepada prosedur yang betul...saya juga tidak diberitahu di bawah seksyen mana tindakan disiplin akan diambil,” katanya.

Untuk tindakan susulan, Woon berkata beliau akan berunding dengan peguamnya.

Woon bersama tiga rakannya lagi iaitu - Muhamad Hilman Idham, 21, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha, kedua-dua mereka 22 - sekarang menghadapi tindakan digantung kerana didakwa terbabit dengan kempen di Hulu Selangor.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka di bawah Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Bagaimanapun pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi erinford (status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan) mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian.